EKONOMI > BERITA

UNTUNG BERSIH SCIENTEX MENINGKAT KEPADA RM130.49 JUTA PADA SUKU KETIGA

21/06/2024 05:56 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Scientex Bhd merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM130.49 juta bagi suku ketiga berakhir 30 April, 2024, meningkat daripada RM109.78 juta semasa suku sama pada tahun kewangan 2023.

Perolehan meningkat 11.1 peratus kepada RM1.10 bilion daripada RM997.11 juta bagi tempoh yang sama, menurut syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Jumaat.

Scientex menjelaskan perolehan daripada pembungkusan berjumlah RM656.9 juta berbanding RM635.4 juta direkodkan pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya, disumbang oleh produk pembungkusan industri dan pengguna, dipacu terutama oleh pasaran eksport.

Sementara itu, perolehan hartanah berjumlah RM451.1 juta, menunjukkan peningkatan 24.7 peratus daripada RM361.7 juta dicatatkan pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya, didorong kemajuan pembinaan yang stabil bagi semua pembangunan yang sedang dilaksanakan dan penyiapan projek pembangunan sedia ada.

“Selain itu, kadar pembelian yang berdaya tahan bagi pelancaran projek baharu kami di Sungai Dua (Pulau Pinang), Jenjarom (Selangor) dan Jasin (Melaka) turut menyumbang kepada peningkatan perolehan,” jelasnya.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 April, 2024, keuntungan bersih Scientex meningkat kepada RM409.35 juta dipacu perolehan yang lebih tinggi sebanyak RM3.30 bilion.

Mengenai prospek, syarikat itu memaklumkan bahagian pembungkusan kekal fokus untuk meningkatkan kecekapan operasi serta menitikberatkan kos, kualiti dan penghantaran kepada pelanggan bagi mengekalkan daya saing dalam pasaran.

Selain itu, syarikat tersebut komited untuk memperluas jejak tenaga boleh baharu di seluruh ibu pejabat  dan 10 kilang pembuatan utama di seluruh negara.

“Syarikat akan menggunakan sistem solar fotovoltan (PV) bumbung dengan kapasiti kira-kira 21 megawatt puncak (MWp).

“Pemasangan sistem solar PV bumbung bermula pada Mei 2024 dan dijangka siap pada Januari 2025. Susulan itu, bahagian pembungkusan menjangka dapat mengimbangi sebahagian daripada kos tenaga dengan memperkenalkan kemampanan dalam operasinya,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan