EKONOMI > BERITA

MOF UMUM MOHAMMAD FAIZ AZMI SEBAGAI PENGERUSI EKSEKUTIF SC BAHARU BERKUAT KUASA 16 JUN

13/06/2024 06:18 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Kementerian Kewangan (MOF) pada Khamis mengumumkan pelantikan Datuk Mohammad Faiz Azmi sebagai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 16 Jun, 2024 hingga 15 Jun, 2027.

Dalam kenyataan, MOF menjelaskan Mohammad Faiz akan menggantikan Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin yang akan bersara berkuat kuasa 15 Jun, 2024.

Berbekalkan pengalaman yang ada, beliau mampu memberi sumbangan cemerlang demi memastikan SC mencapai matlamatnya untuk menjadi organisasi yang berprestasi tinggi, tambah MOF.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata MOF berterima kasih kepada Awang Adek atas perkhidmatan beliau di SC.

“MOF berterima kasih kepada Awang Adek atas perkhidmatan beliau di SC dan percaya kepakaran serta pengalaman beliau akan dapat terus dimanfaatkan oleh pasaran kewangan negara,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Kementerian itu memaklumkan pelantikan itu adalah selaras dengan Seksyen 4(2) Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 (Akta 498).

Menurut MOF, Mohammad Faiz mempunyai kepakaran dan pengalaman yang luas dalam bidang kewangan, pasaran modal, audit dan pengurusan kewangan.

Beliau berkelulusan undang-undang dari Durham University dan didaftarkan sebagai Barrister, Bar of England & Wales oleh Honourable Society of Lincoln’s Inn.

Mohammad Faiz juga dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Undang-undang oleh University of Nottingham.

“Beliau merupakan ahli dalam beberapa badan profesional seperti Institut Akauntan Berkanun England dan Wales (ICAEW) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA).

“Antara pengalaman beliau adalah pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Eksekutif PwC Malaysia, Presiden MIA, Pengerusi Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia (MASB) dan Pengerusi Kelab Perniagaan Kuala Lumpur (KLBC),” jelas MOF.

Beliau juga ialah Ahli Lembaga SC sejak 15 Ogos, 2023.

Sementara itu, MOF menjelaskan di bawah kepimpinan Awang Adek, SC telah merombak dua undang-undang pasaran modal utama yang kini menunggu kelulusan kerajaan.

Beliau juga telah memperkenalkan Bursa Sosial (Social Exchange), platform pengumpulan dana khusus untuk projek dengan hasil sosial yang positif melalui penggemblengan dana swasta dan dermawan dalam memenuhi keperluan golongan kurang bernasib baik.

Lain-lain pencapaian beliau termasuk Program Siswazah Pasaran Modal (investED) untuk memastikan kumpulan tenaga mahir industri yang mampan, pelancaran prinsip Maqasid al-Syariah untuk pasaran modal Islam, serta pelancaran pelan hala tuju untuk PKS dan syarikat peringkat pertengahan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan