EKONOMI > BERITA

PELABURAN TEKNOLOGI AKAN PERKUKUH EKOSISTEM AI DI MALAYSIA - MOSTI

13/06/2024 06:59 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Pelaburan di Malaysia oleh syarikat teknologi akan menambah baik dan meningkatkan ekosistem kecerdasan buatan (AI) di negara ini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang.

Beliau berkata apabila syarikat teknologi melabur di Malaysia untuk mengembangkan operasi masing-masing, mereka juga akan membantu Malaysia memperkukuh ekosistem AI.

“Ini bermakna lebih banyak tenaga pengkomputeran dan lebih banyak pusat data. Saya percaya ini akan membantu kita membina infrastruktur dan menggalakkan penggunaan AI,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Minggu Sains Kebangsaan 2024 di sini, pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai rancangan pemilik TikTok, ByteDance untuk melabur RM10 bilion di Malaysia.

Mengenai pelaburan Nvidia pula, Chang berkata kerajaan boleh memanfaatkan pelaburannya dari segi teknologi dan kepakaran.

“Nvidia sedang melabur dengan rakan kongsi Malaysia. Kita menjangkakan pemindahan teknologi, yang akan membantu kita dari segi infrastruktur. Mereka akan mewujudkan pusat data menggunakan GPU (unit pemprosesan grafik) dengan tenaga pengkomputeran yang tinggi. Ini akan membantu kita merangsang pembangunan AI,” katanya.

Beliau berkata MOSTI, melalui Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), telah mewujudkan medan ujian AI dengan kerjasama Nvidia untuk meraih manfaat daripada kepakarannya.

“Nvidia juga telah berbincang dan bersetuju memberikan kredit awan kepada Malaysia untuk syarikat permula niaga AI di negara kita,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan