EKONOMI > BERITA

SC GESA SYARIKAT GUNA PAKAI MODAL TEROKA KORPORAT UNTUK BERGERAK SEIRING DENGAN PEMBANGUNAN TEKNOLOGI

13/06/2024 06:50 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jun  (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menggesa syarikat  mengguna pakai modal teroka korporat (CVC) sebagai instrumen strategik yang penting untuk bergerak seiring dengan teknologi terkini dan mendahului persaingan dalam dunia inovasi korporat yang dinamik.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata SC, melalui rakan sekutunya, telah menjalankan beberapa program pembinaan kapasiti CVC dalam tempoh dua tahun lepas, sebagai tambahan kepada sokongan kerajaan terhadap usaha korporat melalui potongan cukai yang menarik untuk pelaburan yang layak.

“Walaupun beberapa syarikat yang mengguna pakai strategi ini telahpun mencapai kemajuan dalam bidang ini, kami perlu melakukan sesuatu untuk membantu majoriti yang baru bermula dalam bidang inovasi, dan mereka yang masih belum mendapat sokongan daripada pengurusan dan lembaga pengarah mereka untuk melaksanakan program CVC," katanya semasa acara "Siri Pemangkin: Dialog Industri tentang Inovasi Korporat" di sini, hari ini.

Beliau berkata SC menerima maklum balas yang memerlukan ia mengenal pasti rakan kongsi strategik untuk membina program inovasi korporat yang berdaya maju.

“Menyedari perkara ini, hari ini, kami mengambil keputusan untuk menumpukan pada asas inovasi korporat,” katanya.

Awang Adek berkata korporat adalah pemain penting dalam ekosistem pemula niaga dan dengan melabur dalam penyelidikan dan pembangunan atau bekerjasama dengan universiti dan syarikat pemula niaga, mereka boleh menggabungkan sumber, akses pasaran, dan rangkaian yang mantap bersama dengan idea baharu daripada syarikat tersebut.

“Korporat boleh memacu inovasi mereka melalui pemerolehan syarikat pemula niaga sambil membantu pengurus modal teroka.

"Ini seterusnya dapat merancakkan lagi pasaran persendirian dan ekosistem pendanaan pemula niaga kita," katanya.

Beliau berkata usaha SC dalam menggalakkan inovasi korporat sejajar dengan strategi untuk membangunkan spektrum pembiayaan berasaskan pasaran yang komprehensif untuk korporat dan perusahaan kecil dan sederhana.

“Ini menyokong objektif Pelan Tindakan KL20, yang bertujuan meletakkan Kuala Lumpur sebagai 20 hab pemula niaga global teratas,” katanya.

Sehubungan itu, Awang Adek berkata SC menjalankan tinjauan inovasi korporat untuk menilai keadaan inovasi korporat dalam kalangan syarikat senaraian awam.

“Responden tinjauan mewakili kira-kira 36 peratus daripada permodalan pasaran Indeks FBM 100. Antara pemerhatian utama, 70 peratus daripada responden percaya syarikat mereka cukup bersedia untuk melakukan inovasi,” katanya. 

Semasa acara itu, SC melancarkan penerbitannya bertajuk “Panduan Praktikal mengenai Modal Teroka dan Ekuiti Persendirian (PE) di Malaysia”, yang bertujuan untuk menyediakan pengetahuan praktikal yang komprehensif kepada bakal pengurus dana teroka dan PE, penyedia perkhidmatan dan pelabur yang mengemudi landskap kawal selia Malaysia bagi sektor ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan