EKONOMI > BERITA

ASEAN PERLU SALING BEKERJASAMA UNTUK MANFAATKAN POTENSI ASIA PASIFIK - TENGKU ZAFRUL

13/06/2024 07:25 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 13 Jun (Bernama) -- Malaysia dan Singapura, bersama-sama dengan anggota Asean yang lain perlu saling bekerjasama untuk memanfaatkan potensi rantau ini dan juga Asia-Pasifik (APAC) yang dijangka menyumbang 90 peratus kepada pertumbuhan e-dagang global antara 2021 dan 2026.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata meskipun Malaysia berusaha keras untuk meletakkan negara sebagai destinasi pelaburan pilihan, ia juga perlu bekerjasama dengan negara jiran dan memacu rantau ini secara keseluruhan, antaranya dalam jaminan rantaian bekalan, ekonomi digital dan bidang lain.

Tengku Zafrul berkata demikian selepas mempengerusikan bersama Dialog Tahunan Menteri (AMD) kedua dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perdagangan dan Industri Singapura Gan Kim Yong, di sini, hari ini.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) dan Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) Singapura, menerusi satu kenyataan bersama susulan AMD berkata kedua-dua menteri menekankan kepentingan untuk mengukuhkan kerjasama ekonomi dua hala dan bersetuju untuk meneruskan kerjasama rapat antara kedua-dua negara.

Mereka juga mengalu-alukan penubuhan Kumpulan Kerja Kerjasama Rantaian Bekalan (SCWG) baharu yang dibentuk berdasarkan kepada kepentingan  bersama dalam daya tahan rantaian bekalan susulan impak yang dialami oleh kedua-dua negara semasa pandemik Covid-19.

SCWG, yang diterajui bersama oleh kedua-dua kementerian itu, akan saling bertukar-tukar pandangan dan meneroka kaedah untuk meningkatkan daya tahan rantaian bekalan.

“Pengalaman kita mengetengahkan saling bergantungan ekonomi kita, dan potensi kerjasama yang lebih kukuh untuk meningkatkan daya tahan rantaian bekalan kita sebelum gangguan global seterusnya,” kata kenyataan itu.

Kedua-dua menteri turut mengalu-alukan Rangka Kerja Kerjasama Ekonomi Digital dalam bidang seperti pemudahan perdagangan, pengkomputeran awan, kesalinghubungan sistem pembayaran masa nyata dan perlindungan anti penipuan dalam talian.

“Inisiatif ini menyumbang kepada pendigitalan aktiviti perdagangan rentas sempadan dan kebolehoperasian,” kata kenyataan itu sambil menambah Singapura dan Malaysia sedang berbincang dengan rakan serantau dalam bidang ini di bawah Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital Asean.

 Kedua-dua menteri juga menekankan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Mewujudkan Nombor Pengenalan Perniagaan Unik ASEAN Setanding dan Diiktiraf Serantau yang dijangka siap lewat tahun ini, akan memberi peluang kepada dua negara jiran itu meninjau bagi meningkatkan lagi inisiatif dua hala yang dapat menyokong penyepaduan pasaran serantau.

Turut disentuh adalah perbincangan mengenai inisiatif e-invois rentas sempadan yang akan membolehkan perniagaan di kedua-dua negara menghantar invois secara mudah kepada pelanggan melangkaui sempadan masing-masing apabila Malaysia dan Singapura menerimaguna piawaian Spesifikasi Peppol International (PINT) menjelang akhir tahun ini.

Selain itu, Malaysia dan Singapura akan terus saling bertukar maklumat melibatkan penggubal dasar untuk meningkatkan persefahaman bersama dan meninjau peluang kerjasama dalam ekonomi digital dan hijau, termasuk bidang seperti keselamatan siber.

“Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) dan Agensi Keselamatan Siber Negara Malaysia (NACSA) merancang untuk mengadakan sesi pertukaran perspektif mengenai topik keselamatan siber seperti reka bentuk keselamatan dan daya tahan siber ke arah menggalakkan langkah-langkah keselamatan siber untuk perniagaan,” kata kenyataan itu.

Tengku Zafrul dan Gan turut menyambut baik pelancaran Dana Pembangunan Perniagaan Negara Ketiga Malaysia-Singapura (MSBDF) yang dikemaskini pada Mac dan diterajui oleh EnterpriseSG dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Mekanisme itu memberi sokongan kepada persatuan dan perniagaan perdagangan Singapura dan Malaysia untuk menjalankan misi perniagaan bersama selain menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk kerjasama di negara ketiga serta juruterbang secara bersama.

Selain itu, kedua-dua menteri turut menegaskan komitmen bagi meneruskan usaha pertukaran peringkat tinggi dan bekerjasama secara dua hala dan dalam ASEAN agar limpahan manfaat bersama dapat dinikmati oleh rakyat, perniagaan dan ekonomi.

“Sejajar dengan kedudukan Malaysia menggalas kepengerusian ASEAN pada 2025, wujud peluang bagi Singapura dan Malaysia untuk bekerjasama dan memajukan kepentingan di rantau ini,” kata kenyataan itu.

Pada 2023, Malaysia adalah rakan dagang ketiga terbesar Singapura dengan perdagangan dua hala mencecah US$92.1 bilion.

Singapura turut berperanan sebagai sumber pelaburan asing terbesar Malaysia dengan menyumbang US$9.6 bilion (RM43.7 bilion) atau 23.2 peratus daripada jumlah pelaburan asing Malaysia pada 2023.

Dalam pada itu, AMD membabitkan MTI dan MITI yang dilancarkan pada 2023, bertujuan mengukuhkan kerjasama ekonomi dua hala dan meneroka sinergi dalam bidang baharu selain berpandangan jauh dalam bidang seperti ekonomi digital dan ekonomi hijau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan