EKONOMI > BERITA

AGRICORE SASAR HASIL BAHAGIAN PENAMBAH MAKANAN NAIK 10-20 PERATUS

21/06/2024 03:06 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Syarikat pembekal bahan makanan tempatan, Agricore CS Holdings Bhd menyasarkan perolehan hasil bahagian penambah makanannya meningkat 10-20 peratus bagi tahun kewangan 2024.

Agricore membuat kemunculan pertama yang kukuh di Pasaran ACE pagi ini dengan mencatat 79 sen iaitu premium sebanyak 29 sen berbanding tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 50 sen dengan sejumlah 6.83 juta saham diniagakan. 

Ketua Pegawai Kewangan Lim Swee Chuan berkata sentimen optimis itu juga susulan prestasi bahagian berkenaan yang ke arah pertumbuhan dua digit sejak bermula pada 2020.

“Ia terus berkembang dan pada tahun pertama, perolehan hasilnya adalah RM1.1 juta dan seterusnya melonjak kepada RM8 juta dan mencecah RM12 juta pada tahun lepas,” katanya pada sidang media sempena penyenaraian syarikat itu di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengurus Pemasarannya Daniel Tan berkata Agricore juga berhasrat untuk menyertai dalam pameran antarabangsa mulai tahun ini dalam usaha melonjakkan kehadirannya di pasaran luar negara.

“Kami merancang ke Vietnam pada Oktober dan seterusnya China dan Timur Tengah pada 2025 untuk meningkatkan jualan," katanya.

Dalam pada itu, Agricore berjaya mengumpul RM25.9 juta daripada pelaksanaan IPO dengan hasilnya akan dimanfaatkan terutama bagi membeli inventori berjumlah RM18.9 juta untuk menyokong pertumbuhan perniagaannya.

Selain itu dalam kenyataan berasingan, syarikat itu berkata ia memperuntuk sejumlah RM2.7 juta bagi mengembangkan kapasiti penyimpanannya dengan mewujudkan kemudahan simpanan serantau baharu di Klang, Selangor.

Ini penting bagi meningkatkan kecekapan operasi perniagaan selain meningkatkan kehadiran dalam pasaran industri bahan makanan.

“Sebanyak RM0.6 juta diperuntukkan untuk mengambil kakitangan tambahan bagi premis di Bukit Minyak manakala RM3.7 juta bagi membiayai anggaran perbelanjaan penyenaraian,” katanya.

Selepas penyenaraian, modal pasarannya akan berjumlah RM101.4 juta dengan modal saham dipertingkat sebanyak 202.8 juta saham.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan