EKONOMI > BERITA

KERAJAAN LAKSANA INISIATIF KHUSUS TINGKAT KEDUDUKAN MALAYSIA DALAM RANGKING DAYA SAING DUNIA - MITI

25/06/2024 10:32 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Lanjutan daripada kedudukan terkini Malaysia dalam Ranking Daya Saing Dunia IMD 2024, kerajaan sedang melaksanakan beberapa inisiatif khusus menerusi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi meningkatkan kecekapan penyampaian, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Kementerian itu berkata, MPC sebagai agensi pelaksana utama akan menjalankan tiga usaha secara berterusan dalam jangka masa panjang. 

“Tiga inisiatif tersebut adalah Projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) yang merupakan satu inisiatif berdasarkan arahan Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk MPC meneliti 197 projek dari 28 Kementerian dan Agensi Kerajaan berkaitan.

“Ini bagi menyemak dan meminda peraturan yang memberi impak kepada rakyat dan perniagaan agar lebih cekap, telus, dan berkesan,” kata MITI dalam jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Ir Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) mengenai langkah proaktif kerajaan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam ranking berkenaan.

Sementara itu, Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) pula akan melaksanakan Inisiatif New Deal for Business (NDFB) yang bertujuan menyelesaikan isu dan cabaran berkaitan pematuhan peraturan yang dihadapi oleh peniaga dan pemain industri.

Menurut MITI, MPC menerima lebih daripada 500 isu yang diutarakan oleh pihak industri, merangkumi isu berkaitan struktur dan kecekapan proses.

“Sesi libat urus bersama industri bersetuju untuk memberi keutamaan kepada 25 isu utama yang perlu penyelesaian segera untuk dilaksanakan dalam fasa pertama NDFB,” kata kementerian berkenaan.

Selain itu, kerajaan juga melaksanakan Inisiatif Ekpress-10 (E10) yang bertujuan memendekkan tempoh kelulusan pembinaan kilang baharu daripada 24 bulan kepada 10 bulan, seiring dengan usaha MITI mewujudkan persekitaran perniagaan yang tangkas dan kondusif.

Model E-10 yang dimulakan di Majlis Perbandaran Kulim kini diperluaskan ke beberapa negeri termasuk Johor.

Menurut MITI, kedudukan Malaysia dalam Daya Saing Dunia IMD 2024 mencerminkan keperluan untuk kerajaan menilai semula fokus, menjalankan penandaarasan dan memperbaharui strategi daya saingnya termasuk berhubung kekuatan mata wang.

“Berdasarkan pengamatan MITI terhadap trend prestasi Malaysia dalam beberapa tahun yang lepas, boleh dikatakan prestasi daya saing Malaysia dalam WCR adalah turun naik dengan menunjukkan trend menaik dan menurun dari tahun ke tahun.

“Sebahagian besar penurunan kedudukan daya saing Malaysia disebab oleh ketidaktentuan dalam kestabilan kadar pertukaran mata wang yang mana sebanyak 63 daripada 256 indikator penilaian atau 25 peratus dipengaruhi secara langsung oleh kadar pertukaran matawang,” katanya.

Disebalik itu, MITI berkata terdapat beberapa petunjuk prestasi daya saing yang merekodkan pengukuhan.

Antaranya, IMD mengiktiraf dasar dan pelaksanaan cukai negara yang kukuh dan berkesan dengan kedudukan Malaysia berada pada 10 teratas di peringkat global dalam penunjuk ini.

Kedudukan yang tinggi ini mencerminkan rangka kerja pencukaian negara adalah mantap dan cekap, serta menyokong kestabilan ekonomi dan menggalakkan operasi perniagaan.

Malaysia juga menunjukkan peningkatan yang ketara bagi penunjuk pengurusan belanjawan dengan ranking meningkat lapan anak tangga kepada kedudukan ke-46, berikutan dasar dan amalan fiskal berkesan dalam mengurus dana awam.

Selain itu, Malaysia juga dikatakan mempunyai bilangan graduan sains yang tertinggi, dengan kedudukan daya saing di tempat pertama di peringkat global.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan