POLITIK > BERITA

KERAJAAN PERPADUAN JAGA, TIDAK ABAI KEDUDUKAN AGAMA ISLAM - ASYRAF WAJDI

29/06/2024 01:03 AM

NIBONG TEBAL, 28 Jun (Bernama) -- Kepimpinan Kerajaan Perpaduan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah mengabaikan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi, sebaliknya sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk memastikan agama itu terjaga.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata dakwaan pembangkang kononnya kedudukan Islam kini terabai di bawah Kerajaan Perpaduan tidak berasas, malah sengaja ditimbulkan untuk meraih pengundi ketika pilihan raya.

“Saya sebut ini kerana saya perhatikan ceramah-ceramah puak di sebelah sana setiap malam, isu yang dimainkan, seolah-olah Islam tercabar, keistimewaan orang Melayu dicabar.

“… tetapi, selagi kita wujudkan Kerajaan Perpaduan yang di dalamnya ada 19 parti politik yang menghormati sesama lain, insya-Allah kita akan pastikan negara ini terus prihatin dengan memahami realiti ini (kedudukan agama Islam),” katanya ketika berucap pada Ceramah Perpaduan di Pusat Daerah Mengundi Tasek Junjong, Simpang Ampat di sini malam ini.

Turut hadir Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Aminuddin Harun.

Terdahulu, Mujahid dalam ceramah sama, menggesa pengundi di Sungai Bakap agar menolak calon dan parti yang tidak mempunyai ‘kehendak politik’ untuk mengukuhkan perpaduan demi kesejahteraan generasi masa depan.

Beliau berkata untuk membangunkan negara, seorang pemimpin dan partinya harus berfikiran jauh dan mempunyai cita-cita besar untuk memberikan yang terbaik kepada generasi seterusnya, bukan hanya memikirkan perkara yang remeh untuk kepentingan diri dan parti semata-mata.

“Saya berkata begini kerana seharusnya kita beri peluang kepada tokoh dan calon yang berfikiran jauh untuk memperoleh mandat, bukan setakat memikirkan nasib mereka (parti) sama ada menang atau tidak pada pilihan raya seterusnya.

“Pemimpin sebegini kerdil pemikirannya, malah tidak akan dapat menerima keputusan dibuat oleh kerajaan, contohnya keperluan penyasaran subsidi diesel, walhal ia dilakukan untuk memastikan nasib generasi akan datang terjamin dengan mengurangkan ketirisan pada subsidi dan sebagainya,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan calon Pakatan Harapan Dr Joohari Ariffin dicabar oleh Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertembungan satu lawan satu.

Kerusi DUN Sungai Bakap yang mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis itu kosong berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan