EKONOMI > BERITA

TRAFIK PENUMPANG UDARA LONJAK 12.2 PERATUS PADA MEI -- MAVCOM

26/06/2024 02:25 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Trafik penumpang udara Malaysia mencatatkan peningkatan ketara 12.2 peratus dari tahun ke tahun kepada 8.0 juta menjelang Mei 2024, dan naik 0.8 peratus dari bulan ke bulan berbanding April 2024, menurut Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

Pengerusi Eksekutif MAVCOM Datuk Seri Saripuddin Kasim melalui satu kenyataan hari ini berkata pertumbuhan itu didorong oleh kenaikan perjalanan antarabangsa, dengan rantau ASEAN serta bukan ASEAN menyumbang walaupun terdapat sedikit penyusutan dalam trafik domestik daripada bulan sebelumnya.

"Trafik penumpang udara bukan ASEAN mengalami lonjakan dari bulan ke bulan tertinggi pada 2.9 peratus, menokok daripada 1.9 juta yang dicatatkan pada April kepada 2.0 juta pada bulan seterusnya.

"Secara keseluruhan, trafik antarabangsa menyaksikan pertumbuhan 2.2 peratus dari bulan ke bulan," katanya.

Saripuddin berkata angka trafik Mei 2024 menunjukkan daya tahan selain pemulihan berterusan dalam sektor penerbangan, khususnya trafik antarabangsa, yang merupakan petunjuk positif mengenai perjalanan global dan persekitaran pelancongan.

"Dengan pemulihan laluan antarabangsa yang lebih banyak termasuk tambahan kekerapan penerbangan, kami menjangkakan trend ini akan berterusan. 

"MAVCOM kekal berdedikasi bagi menyokong pemulihan industri penerbangan, memastikan standard kualiti perkhidmatan lapangan terbang yang tinggi dan melindungi hak pengguna," tambahnya.

Jumlah trafik penumpang udara untuk Mei 2024 telah mencapai 97.2 peratus daripada sebelum paras pra-pandemik, dengan trafik penumpang antarabangsa menunjukkan daya tahan yang luar biasa, mencapai paras 99.8 peratus berbanding hanya 4.1 juta penumpang pada Mei 2019.

"Trafik domestik juga menunjukkan pemulihan mantap pada 94.7 peratus daripada paras 2019, berjumlah 3.9 juta penumpang pada Mei 2024 berbanding 4.1 juta yang disaksikan semasa April 2019," katanya.

Untuk lima bulan pertama 2024, trafik penumpang udara terkumpul kekal pada 38.5 juta, tambahan 16.0 peratus dari tahun ke tahun daripada 33.2 juta dalam tempoh yang sama pada 2023. 

Trafik penumpang udara antarabangsa melonjak kepada 19.9 juta, menandakan kemajuan 38.3 peratus daripada 14.4 juta dalam yang direkodkan dalam tempoh lima bulan pertama 2023.

"Lonjakan ini menekankan pemulihan teguh industri penerbangan termasuk pemulihan laluan dan frekuensi antarabangsa.

"Sebaliknya, trafik penumpang domestik merosot sedikit sebanyak 1.1 peratus dari tahun ke tahun kepada 18.6 juta, turun daripada 18.8 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelum ini," kata suruhanjaya itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan