EKONOMI > BERITA

PELABURAN BLACKROCK DI MALAYSIA CECAH RM27.5 BILION, PENGGUGURAN DATANGKAN IMPLIKASI NEGATIF

27/06/2024 12:02 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Pengguguran pelaburan BlackRock dari Malaysia, sekiranya berlaku akan mendatangkan kesan negatif kepada usaha untuk merealisasikan agenda pelaburan negara, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Blackrock ialah pemegang saham pelbagai syarikat tersenarai dunia, dana-dana berdaulat Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Oman, Bahrain dan Indonesia.

Beliau berkata BlackRock yang merupakan pengurus aset terbesar di dunia dengan aset di bawah pengurusan (AUM) syarikat tersebut bernilai US$10.5 trilion setakat 31 Mac, 2024, turut memegang pelaburan ekuiti di dalam 100 syarikat tersenarai di Malaysia sehingga Mei tahun ini.

“Ini merangkumi sektor industri, dengan tiga entiti terbesar merupakan institusi perbankan di negara ini. Secara keseluruhan mereka memiliki aset bernilai sekitar RM27.5 bilion di Malaysia,” katanya semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai perincian pelaburan oleh BlackRock di Malaysia serta impak kepada ekonomi negara sekiranya semua pelaburan BlackRock sejak berpuluh-puluh tahun kebelakangan ini digugurkan.

Tengku Zafrul berkata daripada jumlah itu, RM20.5 bilion pelaburan BlackRock adalah dalam pasaran saham Bursa Malaysia dan sekitar RM7 bilion dalam bon kerajaan dan korporat di dalam negara.

Antara pelaburan BlackRock di dalam pasaran bon terbitan kerajaan termasuk dalam Malaysia Sukuk Global Bhd; Export-Import Bank of Malaysia Bhd; Malaysia Wakala Sukuk Bhd; Petroliam Nasional Bhd; dan Malaysia Sovereign Sukuk Bhd.

BlackRock juga merupakan pemegang saham bagi beberapa syarikat multinasional besar yang beroperasi di Malaysia termasuk Microsoft, Boeing, Intel, dan Texas Instruments, katanya.

“Syarikat-syarikat seperti Microsoft, Boeing, Intel, dan Texas Instruments yang mempunyai pemilikan saham oleh BlackRock ini menyumbang kepada pembangunan industri dan negeri melalui projek pelaburan yang dijalankan di Malaysia.

“Ini termasuk Intel yang menyumbang kepada pertumbuhan subsektor semikonduktor di Pulau Pinang; Infineon di Melaka dan Kedah, Texas Instruments dalam industri elektrikal dan elektronik di Melaka dan Kuala Lumpur; dan subsidiari Boeing, iaitu Aerospace Composites Malaysia Sdn Bhd dalam industri aeroangkasa di Kedah,” katanya.

Tengku Zafrul berkata Microsoft yang baru-baru ini mengumumkan pelaburan pula akan menyumbang kepada pembangunan infrastruktur pusat data di lokasi baharu yang akan ditentukan kemudian.

“Secara keseluruhan, syarikat-syarikat yang saya nyatakan sebentar tadi merupakan pelaburan asing yang telah membuat pelaburan yang signifikan di Malaysia, serta mewujudkan peluang pekerjaan, khususnya dalam sektor berteknologi dan bernilai tinggi yang disasarkan oleh negara,” katanya.

Beliau yang memperincikan pelaburan tersebut berkata Intel telah membuat pelaburan RM32 bilion dan menggaji lebih daripada 10,000 orang pekerja, manakala Texas Instruments telah membuat pelaburan sebanyak RM13 bilion dan menggaji lebih daripada 2,000 orang pekerja di Malaysia.

Boeing, melalui subsidiarinya, Aerospace Composites Malaysia Sdn Bhd pula telah membuat pelaburan RM300 juta dan menggaji 900 orang pekerja serta ROHM Electronics (Malaysia) di Kelantan membuat pelaburan sebanyak RM3 bilion dan menggaji lebih daripada 2,000 orang pekerja, katanya.

“Infineon yang berada di Kedah dan Melaka telah mengumumkan komitmen pelaburan tambahan sebanyak RM25 bilion, dan setakat ini menggaji lebih 13,000 rakyat Malaysia.

“Pada masa ini, Microsoft menggaji lebih 200 orang pekerja di Selangor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Pada 2 Mei, 2024, syarikat telah mengumumkan komitmen pelaburan tambahan RM10.5 bilion,” katanya.

Bagi perdagangan, Intel telah menyumbang RM50 bilion nilai eksport untuk komponen semikonduktor, Texas Instruments menyumbang RM20 bilion nilai eksport komponen elektronik; dan Microsoft telah menyumbang RM15 bilion nilai eksport perkhidmatan teknologi maklumat.

Tengku Zafrul berkata Malaysia tidak mengamalkan sebarang dasar yang menghalang mana-mana pelaburan syarikat global seperti BlackRock dan penglibatannya dalam syarikat tersenarai di pasaran saham.

“Kita tidak ada penglibatan atau tidak ada polisi yang menghalang mereka buat masa ini,” katanya.

Mengenai penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd, menteri itu berkata perkara tersebut telah dijawab secara jelas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu ini.

“Soal Kabinet, mungkin saya boleh beri sedikit penjelasan dari segi tata urus memang keputusan itu dibuat di peringkat Khazanah Nasional Bhd jadi saya sebagai Ahli Jemaah Menteri hanya dimaklumkan semasa Mesyuarat Kabinet oleh Perdana Menteri semasa itu keputusan telah dibuat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan