EKONOMI > BERITA

MATRADE, DELOITTE METERAI MOU PACU NIMP 2030

27/06/2024 02:45 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Deloitte telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk bersama-sama memacu Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) melalui beberapa siri inisiatif diterajui teknologi.

MATRADE dalam satu kenyataan hari ini berkata kerjasama strategik itu bertujuan untuk menyokong inisiatif transformasi MATRADE dengan memanfaatkan rangkaian global dan kepakaran Deloitte sambil memperkasa ekonomi tempatan menerusi program pembangunan keupayaan yang khusus untuk meningkatkan kedudukan ekonomi Malaysia menjelang tahun 2030.

“Sejajar dengan rangka kerja MADANI, kedua-dua pihak sedang melihat untuk memanfaatkan teknologi revolusioner, menyokong penggunaan kecerdasan buatan generatif (GenAI) dan inovasi termaju lain dalam kalangan perniagaan tempatan terutamanya pengeksport untuk meningkatkan lagi industri perdagangan antarabangsa negara dan meningkatkan ekonomi Malaysia,” katanya.

Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata kerjasama itu adalah bukti komitmen untuk memperkasakan pengeksport Malaysia dan meningkatkan keupayaan perdagangan global negara.

“Menerusi penggabungan ini, kami menyasarkan untuk mewujudkan ekosistem eksport yang berkembang maju, memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan dan memacu pertumbuhan ekonomi mampan.

“Bekerjasama dengan industri dan penggiat global seperti Deloitte mengukuhkan peranan MATRADE sebagai pemboleh dengan memanfaatkan teknologi ini secara berkesan, memastikan daya saing Malaysia di persada dunia,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata kerjasama strategik dengan Deloitte akan mengukuhkan dan membangunkan kerjasama promosi perdagangan dengan memberi tumpuan kepada tiga bidang iaitu mewujudkan bersama program ‘go-to-market’, meningkatkan keupayaan untuk pengeksport Malaysia dan menginovasikan analisis data bersama dengan aplikasi AI generatif.

“Penerapan inovasi dan teknologi termaju adalah sebahagian daripada pembaharuan bertenaga dan transformasi agresif MATRADE ke arah menjadi sebuah organisasi yang dinamik, seiring dengan visi Perdana Menteri.

“Matlamat kami adalah untuk mewujudkan ekosistem ‘forward-thinking’ yang menyokong pertumbuhan mampan, memastikan setiap pemegang kepentingan mendapat manfaat daripada kemajuan Malaysia dalam pasaran antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan