EKONOMI > BERITA

SYARIKAT INDONESIA SEDIA TINGKAT PERDAGANGAN, KERJASAMA PADA SIDANG KEMUNCAK MALAYSIA-CHINA

21/06/2024 01:03 AM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 20 Jun (Bernama) -- Kumpulan perniagaan di Indonesia menyifatkan Sidang Kemuncak Malaysia-China (MCS) 2024 sebagai aspek penting untuk meningkatkan perdagangan dan kerjasama, justeru sedang mengatur delegasi bagi sidang kemuncak berkenaan pada akhir tahun ini di Kuala Lumpur.

Ketua Umum Badan Pengurus Cabang Himpunan Pengusaha Muda Indonesia Jakarta Barat Rika Amelia Rush berkata sidang kemuncak itu menyediakan peluang kepada syarikat Indonesia memperlihatkan kepakaran masing-masing dalam bidang keusahawanan dan inovasi.

“Sidang kemuncak ini membolehkan mereka mengadakan sesi libat urus dengan warga Asean dan China yang luas, memudahkan pertukaran ilmu penting dan memperluas kedudukan global mereka,” katanya pada Siri Jaringan Libat Urus: MCS 2024 di sini hari ini.

Sidang kemuncak yang diadakan selama tiga hari bermula 17 Disember ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) adalah anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd.

Menandakan ulang tahun ke-50 hubungan dua hala Malaysia-China, acara itu bertujuan untuk meningkatkan integrasi ekonomi dan kerjasama antara negara Asean dan China.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin menekankan peranan sidang kemuncak itu untuk menambah baik hubungan Asean, terutama antara Malaysia dan Indonesia, di tengah-tengah sambutan ulang tahun ke-50 Malaysia dan China.

"Menyenaraikan Asean dalam sidang kemuncak ini bukan sahaja strategik, malah penting," katanya sambil memaklumkan kepentingan integrasi Asean untuk daya tahan ekonomi serantau.

Syed Md Hasrin dalam ucapannya turut menekankan peranan penting Indonesia, menyaksikan perdagangan dua hala yang kukuh dengan mencapai RM111.21 bilion atau US$24.39 bilion pada 2023.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Malaysia di Jakarta, Farzamie Sarkawi.

Sidang kemuncak bertemakan, “Prosperity Beyond 50”, disifatkan oleh Pengerusi Eksekutif Qube Integrated Malaysia Richard Teo sebagai peluang untuk perniagaan mengembangkan rangkaian di seluruh rantau ini, dengan jangkaan kehadiran lebih 500 peserta pameran dan 10,000 pengunjung perdagangan.

“Acara ini membolehkan peserta memanfaatkan sinergi ekonomi yang semakin meningkat antara Malaysia dan Indonesia, mendorong peluang perniagaan baharu dan mengukuhkan perkongsian serantau,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan