EKONOMI > BERITA

'BANTUAN BUDI MADANI BANTU SERAP PERBELANJAAN TAMBAHAN DIESEL', KATA PENERIMA 

27/06/2024 07:51 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Seorang pembekal ayam segar di Puncak Alam berkata bantuan RM200 menerusi BUDI MADANI dapat meringankan bebannya susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel sejak awal bulan ini.

Saiful Ahmad, 55, berkata selain bahan mentah, kos terbesar yang perlu ditanggung dalam perniagaannya ialah pembelian diesel untuk menggerakkan trak pikap bagi mengambil bekalan dan membuat penghantaran.

“Memanglah ada orang kata RM200 itu sikit tetapi saya faham, ia diberi untuk menampung bayaran tambahan  apabila (harga) diesel naik.

“Ia bukan bermaksud untuk bayar semua, mungkin ramai salah anggap," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mulai 10 Jun lepas, harga diesel di semua stesen runcit di Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter iaitu harga pasaran tanpa subsidi.

Sehubungan itu, kerajaan melaksanakan inisiatif BUDI MADANI bertujuan memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada mereka yang layak dan mengurangkan beban golongan memerlukan, dengan pemberian RM200 bantuan tunai secara bulanan.

Pendaftaran bagi BUDI MADANI dibuka pada 28 Mei lepas dan tiada tarikh tutup ditetapkan untuk permohonan bantuan itu.

Selain BUDI MADANI, kerajaan turut mengurangkan beban dengan meneruskan bantuan subsidi kepada kenderaan pengangkutan awam darat serta pengangkutan barangan menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Sementara itu, Presiden Persatuan Pekebun Sayur Cameron Highlands Chai Kok Lim berkata sehingga kini, kira-kira 200 daripada 800 ahlinya telah menikmati bantuan tunai RM200 itu.

Sependapat dengan Saiful, Chai berkata inisiatif itu membantu mereka menyerap kos dan meneruskan operasi untuk mengeluarkan hasil pertanian.

“Ada ahli kami yang masih menunggu kelulusan, namun ada juga (permohonan)  yang ditolak kerana tidak cukup syarat susulan jualan melebihi RM300,000.

“Kami telah meminta syarat itu dilonggarkan untuk syarikat yang mencatat jualan lebih RM1 juta.

“Perkara ini telah dimaklumkan kepada Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying dalam lawatannya baru-baru ini dan kami menghargai keterbukaan kerajaan untuk mendengar rayuan bagi membaiki dasar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan