EKONOMI > BERITA

RINGGIT BERDAYA TAHAN, TIDAK CERMIN ASAS MAKROEKONOMI MALAYSIA YANG KUKUH - BNM

28/06/2024 12:50 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) Bank Negara Malaysia (BNM) menyifatkan prestasi ringgit tidak mencerminkan asas-asas makroekonomi Malaysia yang kukuh seperti pertumbuhan keluaran dalam negara kasar memberangsangkan serta penyederhanaan inflasi.

Malah, jawatankuasa itu berkata ringgit berpotensi besar untuk meningkat dan menjadi antara kelompok penerima utama manfaat daripada langkah Amerika Syarikat (AS) mengurangkan kadar faedahnya, berdasarkan pergerakan ketaranya ketika kitaran kenaikan kadar faedah berkenaan.

“Kalangan ahli (FMC) juga mengambil maklum bahawa sentimen asing kekal positif dan mencatat peningkatan, didorong usaha libat urus pelabur secara kolektif yang digerakkan oleh kerajaan, BNM dan penggiat industri,” katanya dalam kenyataan susulan mesyuarat jawatankuasa itu yang diadakan di sini, semalam.

Pada masa sama, jawatankuasa itu kekal optimis terhadap prospek ringgit dalam masa terdekat biarpun diasak cabaran termasuk risiko geopolitik, ketidaktentuan berhubung trajektori kenaikan kadar faedah serta penyasaran semula subsidi.

“Ahli yakin kelangsungan kestabilan pasaran domestik dan usaha bersama semua pihak terbabit pada akhirnya akan membawa kepada pengukuhan prestasi ringgit. 

“Mesyuarat kali ini juga mengambil maklum bahawa unjuran median terkini Bloomberg bagi dolar AS berbanding ringgit adalah di paras 4.65 pada akhir 2024 dan 4.45 bagi penghujung 2025,” katanya.

Selain itu, pengukuhan dolar AS secara meluas disedari baru-baru ini apabila kalangan peserta pasaran melaras unjuran daripada enam langkah pengurangan kadar Rizab Persekutuan (Fed) pada awal tahun kepada hanya satu hingga dua tindakan itu pada 2024 yang menyumbang kepada ketidaktentuan pasaran.

FMC berkata walaupun Fed dijangka membuat penurunan lebih kecil pada 2024, ringgit sebaliknya kekal berdaya tahan dan susut hanya 2.6 peratus berbanding dolar AS setakat ini selain di kedudukan ketiga dalam kelompok 10 mata wang serantau.

“Sejak 26 Februari lepas, ringgit muncul sebagai satu-satunya mata wang yang mencatat peningkatan berbanding dolar AS dan mengukuh sebanyak 1.3 peratus.

“Ini bukti terhadap impak positif susulan tindakan bersepadu oleh kerajaan dan BNM untuk menggalakkan aliran masuk dana yang lebih konsisten membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Dalam pada itu, FMC juga berkata komitmen berterusan Malaysia terhadap pembaharuan struktur -- penyasaran subsidi diesel, dilihat mendapat reaksi baik dan berperanan menangani ketirisan selain mengukuhkan komitmen kerajaan terhadap disiplin fiskal.

"Ahli juga menekankan kepentingan memastikan strategi komunikasi yang berkesan serta pelaksanaan potensi rasionalisasi subsidi bahan api RON95 pada masa depan,” katanya.

Jawatankuasa itu turut memuji usaha kerajaan menarik pelaburan berkualiti tinggi, termasuk inisiatif tenaga boleh diperbaharui di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan projek infrastruktur pusat data, yang disifatkan berjaya menarik pelaburan langsung asing (FDI) baharu.

“Namun, pada masa sama, ahli jawatankuasa turut mengutarakan perubahan lain dalam aliran FDI, terutama bagi sektor pembuatan ke negara-negara kos rendah lain di rantau ini,” kata FMC.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan