EKONOMI > BERITA

HUAWEI DAN RAKAN KONGSI LANCAR PROGRAM PERINTIS 5G-A DI MWC SHANGHAI 2024

28/06/2024 08:24 PM

Oleh Hillman Jamil

SHANGHAI, 28 Jun (Bernama) -- Huawei dan rakan kongsi pengendalinya telah melancarkan Program Perintis 5G-A, teknologi komunikasi mudah alih terpantas, semasa Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) Shanghai 2024 yang diadakan dari 26 hingga 28 Jun.

Menurut Pengarah Eksekutif dan Pengerusi Lembaga Pengurusan Infrastruktur ICT Huawei, David Wang, 5G Advanced (5G-A) akan menjadi laluan ke hadapan. 

“Ia akan melindungi hak pelaburan sambil mencipta peluang perniagaan baharu dengan meluaskan sempadan perniagaan. Memandang jauh ke arah 2030, industri secara keseluruhan perlu meningkatkan usaha bagi memperkukuh teknologi 5G-A dan menyokong pembangunan sihat 5G,” katanya dalam ucaptama pada acara bertajuk '5G-A: Membuka Jalan untuk Perkongsian Kejayaan' di MWC Shanghai 2024.

Huawei berharap dapat bekerjasama dengan industri untuk membina ekosistem 5G-A yang sempurna sambil meningkatkan standard 5G-A dan berkongsi faedah pembangunan 5G-A.

“Secara bersama, kami akan menjadikan dunia pintar lebih realis dengan lebih pantas. Pengendali perintis yang pertama kali menggunakan 5G semuanya telah mencapai kejayaan. Ini merupakan peristiwa penting bagi industri 5G memandangkan 2024 akan menyaksikan tahun pertama penggunaan 5G-A secara komersial,” katanya. 

Melangkah ke hadapan, beliau berkata Huawei akan terus menyokong usaha inovasi pengendali dalam rangkaian, perkhidmatan serta ekosistem, dan membantu mereka membina daya saing yang berbeza dalam era 5G-A. 

Matlamat utama Huawei adalah untuk menggalakkan pembangunan industri berkualiti tinggi termasuk membolehkan transformasi digital serta pintar ke arah dunia yang lebih baik.

Semasa MWC Shanghai 2024, Huawei mempamerkan produk dan penyelesaian terbaharunya di Pusat Ekspo Antarabangsa Baharu Shanghai .

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan