EKONOMI > BERITA

HUAWEI MANFAATKAN AI UNTUK PERTINGKAT KEMAMPUAN, PRESTASI RANGKAIAN 5G-A

28/06/2024 08:34 PM

Oleh Hillman Jamil

SHANGHAI, 28 Jun (Bernama) -- Integrasi 5G-A (5G-Advanced) dan kecerdasan buatan (AI) oleh Huawei melambangkan kemajuan yang ketara dalam telekomunikasi dan teknologi.

Sebagai peneraju global dalam teknologi 5G, Huawei memanfaatkan AI untuk meningkatkan kemampuan dan prestasi rangkaian 5G-A, memacu inovasi merentas pelbagai industri.

Dalam Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) Shanghai 2024 yang bermula 26-28 Jun, Presiden Pemasaran dan Jualan Huawei, Penyelesaian ICT Huawei, Richard Liu berkata, menerusi rangkaian 5G-A yang semakin pesat dan menyokong lebih banyak pengguna dan peranti, bidang AI akan memberi manfaat kepada tiga perkara iaitu hubungan manusia, kereta bersambung dan peranti bersambung.

“Hubungan manusia adalah bagaimana pengalaman manusia sejagat akan bertambah baik hasil daripada integrasi 5G-A dan AI,” katanya.

Liu berkata mengoptimumkan penstriman video berdasarkan algoritma dan membolehan paparan video 3D dengan resolusi 8K yang dibantu AI untuk paparan, adalah contoh bagaimana pengalaman manusia boleh diperbaik dengan mencari item dengan syor berbantu AI.

Beliau berkata kesemuanya akan menggunakan 1.1 gigabait ruang untuk video selama dua minit.

Sementara itu, Liu berkata teknologi 5G-A bersedia untuk merevolusikan industri automotif dengan meningkatkan pengalaman pengguna dan memperkenalkan kaedah inovatif menggunakan kenderaan.

“Teknologi 5G-A ternyata mempertingkatkan keupayaan sistem multimedia dalam kereta, menawarkan kelajuan muat turun sehingga gigabit sesaat.

“Kesalinghubungan berkelajuan tinggi ini mengubah pengalaman pengguna dan memperluas fungsi pemain multimedia dalam kereta,” katanya.

Mengenai interaksi, Liu berkata 5G-A yang dilengkapi AI sewajarnya berupaya melakukan diagnostik kereta yang disambungkan dan boleh mengawal muzik atau panggilan.

Liu berkata, dari segi peranti penghubung, evolusi rangkaian telekomunikasi terutama dengan integrasi teknologi 5G-A, bersedia untuk menghubungkan lebih banyak peranti dan meningkatkan keterhubungan pada skala global.

Dengan hampir 10 bilion individu telah dihubungkan melalui rangkaian sedia ada, potensi pertumbuhan dalam sambungan peranti adalah sangat besar.

Pengembangan ini dikukuhkan lagi dengan pembangunan komponen interaktif berasaskan AI, trend yang mendapat tarikan yang ketara di China dan di luarnya. 

Menurut Liu, Huawei telah membangunkan program avatar AI yang akan mencipta avatar pengguna, dengan avatar itu boleh berkomunikasi dalam pelbagai bahasa dan menyediakan terjemahan masa nyata.

Antara manfaat 5G-A dengan AI adalah memaksimumkan perolehan, berikutan pengalaman dan perkhidmatan yang semakin berkembang.

Perolehan adalah tunjang utama kepada kebanyakan evolusi teknologi baharu, dan dengan penghantaran data yang meningkat berdasarkan permintaan pengguna, pengalaman pengguna juga akan mewujudkan permintaan baharu, katanya.

“Sekiranya permintaan terhadap robot untuk memasang barangan berupaya memaksimumkan keuntungan, dan robot berkenaan lebih banyak berkhidmat di kilang pintar, mereka juga boleh mengoptimumkan operasi secara keseluruhan dan terus menjana keuntungan.

"Kedua-duanya akan bergantung antara satu sama lain, untuk memastikan perkembangan perniagaan," kata Liu.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan