EKONOMI > BERITA

BNM WAJIBKAN ITO SEDIA PRODUK MHIT BERCIRI PERKONGSIAN KOS MULAI SUKU KETIGA 2024 - LIM

01/07/2024 07:00 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) mewajibkan syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) yang menawarkan produk insurans dan takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) baharu untuk memperkenalkan ciri-ciri perkongsian kos dalam produk MHIT bermula suku ketiga tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata ia adalah antara langkah untuk menangani kenaikan premium insurans atau sumbangan takaful bagi produk MHIT secara mendadak.

“Ini bertujuan mendorong penggunaan perkhidmatan kesihatan yang lebih bertanggungjawab dan seterusnya merendahkan kos yang perlu dibiayai bersama oleh ‘pool’ (berdasarkan konsep pengumpulan risiko).

“Tindakan ini juga dapat mengurangkan tuntutan palsu dan seterusnya dapat merendahkan kos secara keseluruhan serta meningkatkan kemampanan jangka panjang produk MHIT,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai kenaikan kos premium insurans perubatan.

Menurut Lim, berdasarkan pengalaman di beberapa negara, produk MHIT yang mempunyai ciri-ciri perkongsian kos mempunyai kadar premium insurans/ sumbangan takaful yang lebih rendah berbanding produk tanpa ciri-ciri berkenaan.

Beliau berkata selain itu, BNM telah memperkenalkan keperluan kepada syarikat ITO untuk memastikan produk MHIT kekal mampan dan mampu milik menerusi penubuhan pangkalan data tuntutan bersepadu.

“Penubuhan pangkalan data tuntutan bersepadu ini dapat membantu pihak ITO untuk mengenal pasti dan menangani peningkatan kos tuntutan perubatan dengan lebih baik.

“Pangkalan data ini membolehkan pihak ITO membanding caj yang dikenakan oleh hospital swasta yang berbeza serta memantau inflasi tuntutan tahunan keseluruhan industri ITO,” katanya.

Lim berkata pangkalan data ini juga akan membuka jalan ke arah penerbitan kos perubatan untuk prosedur biasa bagi memudahkan pengguna membuat keputusan mengenai kemudahan rawatan dan pembelian insurans berdasarkan maklumat mencukupi.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan