EKONOMI > BERITA

PENINGKATAN INDEKS PELOPOR, SERENTAK PAPAR PROSPEK POSITIF MALAYSIA TAHUN INI - MIDF

01/07/2024 06:50 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Pertumbuhan positif Indeks Pelopor (IP) dan Indeks Serentak (IS) menunjukkan momentum pertumbuhan Malaysia kekal kukuh dalam masa terdekat, didorong oleh peningkatan permintaan domestik dan luaran, kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF).

Sehubungan itu, bank pelaburan itu mengekalkan unjurannya bahawa ekonomi Malaysia akan tumbuh pada pada kadar 4.7 peratus tahun ini berbanding 3.6 peratus pada 2023.

“Kami juga mengunjurkan asas pertumbuhan positif berterusan sepertimana dipaparkan oleh pengembangan berterusan yang dicatatkan oleh IP.

“Namun, pada masa sama, kami kekal berhati-hati bahawa unjuran pertumbuhan itu akan dikekang oleh beberapa risiko penurunan seperti kelembapan negara kuasa ekonomi seperti China dan Amerika Syarikat, keadaan geopolitik dan ketegangan dagangan yang meruncing serta gangguan rantaian bekalan global dan aliran dagangan,” kata bank pelaburan itu menerusi nota penyelidikannya hari ini.

IP Malaysia meningkat sebanyak 4.3 peratus tahun ke tahun pada April 2024 -- kenaikan paling ketara sejak Julai 2022, didorong oleh peningkatan dalam semua komponen kecuali import sebenar semikonduktor.

“Keadaan ekonomi semasa juga kekal menggalakkan apabila IS menokok sebanyak 3.0 peratus tahun ke tahun yang juga pertumbuhan paling pantas dalam tiga bulan.

“Ini dipacu oleh pertumbuhan terpantas dalam tempoh tiga bulan susulan pengembangan dua angka caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sebenar pada 34.1 peratus apabila lebih ramai menyertai pasaran kerja," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan