AM > BERITA

TABUNG SOLIDARITI SFC KUMPUL LEBIH RM76,000

03/07/2024 07:16 PM

SHAH ALAM, 3 Julai (Bernama) -- Tabung Solidariti Bersama Selangor FC (SFC) berjaya mengumpulkan sumbangan berjumlah RM76,490.06 bagi meringankan hukuman denda dikenakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) terhadap pasukan itu. 

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata keseluruhan hasil sumbangan bermula 26 Jun sehingga semalam itu akan diserahkan sepenuhnya kepada pasukan The Red Giants bagi membantu pasukan itu memperjuangkan keadilan sehingga ke peringkat yang tertinggi. 

"Berdasarkan kepada sambutan memberangsangkan diterima melalui Tabung Solidariti ini, kita dapat melihat bagaimana sokongan kuat yang telah diberikan oleh seluruh rakyat Malaysia yang turut sama tidak bersetuju dengan apa yang sedang berlaku dalam Liga Bola Sepak Malaysia.

"Sukan merupakan satu industri yang perlu kita terapkan dalam kehidupan seharian bagi menyatukan rakyat, bukan tempat untuk kita ancam dengan elemen keganasan dan ketaksuban kenegerian melampau hingga menjurus kepada perpecahan dalam kalangan masyarakat," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyerahan Kutipan Tabung Solidariti Bersama Selangor FC di sini hari ini. 

Amirudin dalam masa mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang khususnya peminat bola sepak dan Ahli Dewan Undangan Negeri atas kesudian memberikan sumbangan kepada pasukan Merah Kuning itu. 

Sebelum ini, MFL memutuskan SFC dikenakan tiga hukuman kerana enggan beraksi pada perlawanan Sumbangsih menentang pasukan Johor Darul Takzim namun telah membatalkan dua hukuman itu dan mengurangkan hukuman denda kepada RM60,000. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SFC Dr Johan Kamal Hamidon berkata lebihan sumbangan itu akan digunakan untuk proses seterusnya yang akan dimuktamadkan dalam masa terdekat. 

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan