EKONOMI > BERITA

PENINGKATAN INDEKS SENTIMEN BUKTI KEYAKINAN PMKS TERUS KETARA - SME BANK

03/07/2024 02:59 PM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Indeks sentimen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ternyata terus meningkat dan mencecah 54.7 dalam separuh pertama 2024 daripada 53.5 pada separuh kedua 2023.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) Datuk Dr Aria Putera Ismail berkata anjakan positif itu didorong terutamanya oleh unjuran ekonomi lebih cerah, aliran tunai yang lebih baik serta kekukuhan penampan mudah tunai dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Keputusan ini jelas memaparkan sentimen optimis, daya tahan dan kebolehsesuaian PMKS ketika mengemudi pemulihan ekonomi Malaysia yang lancar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aria Putera juga menyifatkan aliran peningkatan itu sejajar dengan usaha kerajaan di bawah kerangka Ekonomi MADANI yang bertujuan merancakkan ekonomi negara dengan memupuk aspek pertumbuhan inklusif dan mapan.

“Peningkatan sentimen dalam kalangan PMKS ini jelas menekankan kepentingan kritikal mereka dalam usaha pemulihan ekonomi ini dan memaparkan keupayaan untuk menyesuaikan diri serta berkembang dalam persekitaran perniagaan yang dinamik.

“Dalam usaha kita untuk terus menyokong PMKS, prospek mereka yang lebih positif itu juga penting dalam memacu Malaysia ke arah masa depan lebih mantap dan berdaya tahan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi SME Bank Lynette Lee Li Qing berkata sentimen berkenaan adalah konsisten dengan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar Malaysia pada 4-5 peratus bagi 2024 yang merupakan peningkatan daripada 3.6 peratus dalam 2023.

“Ekonomi Malaysia terus berkembang sebanyak 4.2 peratus tahun ke tahun dalam suku pertama 2024, melangkaui pertumbuhan 2.9 peratus pada suku sebelumnya.

“Petunjuk lain yang turut berpandangan ke hadapan seperti indeks sentimen pengguna Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia dan statistik kecenderungan perniagaan dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, juga menunjukkan pengembangan ekonomi yang mampan," katanya.

Namun, Lee berkata cabaran terus wujud dari segi keuntungan, keputusan berkaitan pekerjaan dan inisiatif pengembangan dalam senario persekitaran kos yang tinggi.

SME Bank berkata kaji selidik indeks yang dijalankan pada separuh pertama 2024, menghimpunkan pandangan daripada sebanyak 1,295 peserta di semua negeri Malaysia yang mewakili pelbagai sektor dan saiz perniagaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan