EKONOMI > BERITA

BANK RAKYAT TAWAR MORATORIUM SEHINGGA ENAM BULAN KEPADA MANGSA BANJIR DI SABAH

04/07/2024 11:56 AM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Bank Rakyat menawarkan kemudahan moratorium sehingga enam bulan kepada pelanggan, individu dan perniagaan yang terjejas akibat banjir di Sabah, membabitkan empat daerah termasuk Penampang, Putatan, Tuaran dan Tamparuli.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr Mohammad Hanis Osman berkata, kemudahan ini ditawarkan bagi mengurangkan beban dan kesulitan yang dihadapi pelanggan sekali gus berharap dapat memberi kelegaan kepada mereka yang terjejas.

“Langkah proaktif yang diambil oleh Bank Rakyat ini amat bertepatan dengan nilai keprihatinan dan ihsan dalam konsep Malaysia MADANI untuk mengurangkan beban kewangan dan komitmen yang ditanggung pelanggan dalam waktu yang mencabar ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata pelanggan yang menghadapi kesukaran untuk membuat ansuran bayaran pembiayaan bagi produk yang dilanggan boleh memohon bantuan moratorium ini antaranya melibatkan produk Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-i dan Pajak Gadai-i,” katanya.

Menurut Bank Rakyat, pelanggan yang terjejas boleh membuat permohonan itu melalui e-mel di bantuanbanjir@bankrakyat.com.my dengan menyertakan nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat terjejas, nombor telefon bimbit untuk dihubungi, jenis pembiayaan serta salinan bil utiliti yang mengesahkan alamat pelanggan.

Pelanggan perniagaan juga boleh mengunjungi Pusat Perbankan Perniagaan (BBC) berhampiran bagi mendapatkan bantuan, katanya.

Pelanggan boleh melayari laman web rasmi bank itu di www.bankrakyat.com.my, menghubungi Pusat Panggilan di talian 1300 800 800 dan mengunjungi cawangan Bank Rakyat atau Susulan Berpusat (SB) yang berdekatan serta mengikuti media sosial rasmi Bank Rakyat bagi mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan