EKONOMI > BERITA

KAJI SEMULA KERELEVANAN KEWUJUDAN I2M VENTURES - AUDIT

04/07/2024 03:18 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/24 yang dikeluarkan hari ini mengesyorkan kajian semula dibuat bagi memastikan sama ada kewujudan i2M Ventures Sdn Bhd masih relevan setelah syarikat tersebut melunaskan semua komitmen dan perjanjian dengan pelabur Perkhidmatan Perniagaan Global Iskandar (GBS Iskandar) pada 2025.

Menurut laporan itu, i2M Ventures, syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd dikesan tidak mencapai objektif penubuhan yang ditetapkan iaitu mempromosi, memasar dan menguruskan perniagaan di Iskandar Puteri, Johor.

Petunjuk prestasi utama (KPI) program GBS Iskandar tidak tercapai disebabkan kekurangan peluang perniagaan, kemudahan asas dan pusat rekreasi untuk menarik minat pekerja dan bilangan pekerjaan pada peringkat awal.

“Semakan Audit terhadap status pencapaian tiga KPI program GBS Iskandar yang dikemukakan oleh Khazanah Nasional mendapati setakat 30 Jun, 2023, sebanyak 6,518 peluang pekerjaan (46.7 peratus) telah diwujudkan oleh 30 syarikat pelabur yang menyertai program GBS Iskandar dengan ‘committed investment’ (pelaburan yang dijanjikan) berjumlah RM2.667 bilion (41 peratus),” kata laporan itu.

Sejak diperbadankan pada April 2012 dengan modal berbayar sebanyak RM139.21 juta, i2M Ventures tidak pernah diaudit oleh Jabatan Audit Negara.

Menurut LKAN, i2M Ventures menanggung kerugian terkumpul berjumlah RM135.46 juta setakat 2022 namun masih berupaya untuk menampung obligasinya kerana dibiayai secara langsung oleh Khazanah Nasional selaras dengan tujuan penubuhannya sebagai entiti bukan berasaskan keuntungan.

Pencapaian sebenar KPI 12 pelabur GBS Iskandar yang masih dalam perjanjian dalam tempoh  2020 hingga 2022 adalah antara 12.5 peratus hingga 322.6 peratus.

Namun, hanya enam pelabur GBS Iskandar dilaporkan telah mencapai KPI melebihi 100 peratus, iaitu empat pelabur pada 2020, dan masing-masing satu pelabur pada 2021 dan 2022, manakala terdapat lapan pelabur GBS Iskandar yang masih aktif dan beroperasi di Iskandar Puteri setakat September 2023.

Sementara itu, dalam laporan yang sama, i2M Ventures memaklumkan bahawa pelabur mencapai KPI di bawah 100 peratus kerana syarikat telah mengurangkan pengambilan tenaga kerja bagi mengoptimumkan operasi sebagai langkah menghadapi COVID-19 serta mematuhi syarat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Analisis audit terhadap 18 pelabur GBS Iskandar yang telah tamat perjanjian mendapati sebanyak dua pelabur telah mencapai sasaran yang ditetapkan, manakala tiga pelabur langsung tidak mencapai sasaran yang ditetapkan dengan satu pelabur ditamatkan perjanjian dalam tempoh satu tahun selepas perjanjian dimeterai.

Bagi baki 13 pelabur pula, pencapaian sebenar berbanding sasaran yang ditetapkan adalah antara 5.5 peratus hingga 91.7peratus.

Dilaporkan bahawa dua pelabur yang langsung tidak mencapai sasaran telah menarik diri daripada program GBS Iskandar dan tiada operasi perniagaan yang dijalankan, manakala prestasi sebuah syarikat merudum selepas beroperasi selama setahun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan