EKONOMI > BERITA

PELAKSANAAN EKONOMI MADANI: MEMPERKASA RAKYAT MULA BUAHKAN HASIL - PM ANWAR

09/07/2024 06:34 PM

PUTRAJAYA, 9 Julai (Bernama) -- Pelaksanaan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat serta beberapa dasar baharu yang diperkenalkan pada 2023 mula membuahkan hasil sejak awal tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beberapa pembaharuan dasar termasuk ikhtiar kerajaan sebahagiannya mula membuahkan hasil dengan bukti pencapaian positif menerusi petunjuk ekonomi seperti pertumbuhan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2024 yang meningkat 4.2 peratus berbanding suku keempat 2023 pada tiga peratus.

Beliau berkata agensi penarafan global S&P Global Ratings dan Fitch Ratings juga mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia masing-masing pada A- dan BBB+ dan menetapkan prospek stabil.

“(Antara pencapaian lain termasuk) pemulihan eksport barangan dengan pertumbuhan 5.2 peratus pada suku pertama 2024 berbanding penguncupan 8.1 peratus untuk 2023; paras Indeks Bursa FBM KLCI melepasi 1,600 mata dan nilai pasaran ekuiti domestik mencecah angka tertinggi dalam sejarah sebanyak RM2 trilion.

“Pencapaian tertinggi dengan pelaburan langsung yang diluluskan 2023 sebanyak RM329.5 bilion atau 23 peratus lebih tinggi berbanding pada 2022,” kata beliau semasa berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2025 di sini, pada Selasa.

Beliau berkata beberapa dasar baharu diperkenalkan pada tahun lepas antaranya Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke12 dan Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS).

Walaupun indikator ekonomi mula menunjukkan pencapaian positif namun ruang untuk diperbaiki masih tinggi, kata beliau.

“Tahun lalu seperti yang saya telah tegaskan kita telah lancarkan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat sebagai landasan utama membawa perubahan tetapi tentunya (wadah itu) juga perlu sebagai satu kewajaran untuk memperbetul permasalahan struktural negara.

“Maka beberapa langkah telah diambil umpamanya Akta Tanggungjawab Fiskal, pindaan kepada peranan yang bertambah bagi ketua-ketua audit negara untuk memantau dari segi kewangan, dan langkah-langkah berterusan memperbaiki tatakelola,” kata beliau.

Anwar berkata kerajaan telah menyertai beberapa pakatan ekonomi dengan negara lain menerusi antaranya Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC); Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP); Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA); dan FTA Kesatuan Eropah untuk terus memperkasakan ekonomi Malaysia.

“Kita juga telah bersetuju untuk melihat kemungkinan bersama negara anggota BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) bagi kekuatan Selatan Global di samping mempertimbangkan kemungkinan untuk menyertai OECD (Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi).

“Ini untuk membuka ruang sebaik mungkin kepada pengusaha, pedagang, pelabur dari dalam dan luar negara supaya memanfaatkan kemudahan yang ada,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan