EKONOMI > BERITA

PENGELUARAN GETAH ASLI MALAYSIA NAIK 20.1 PERATUS PADA MEI 2024 - PERANGKAAN

12/07/2024 03:04 PM

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 20.1 peratus kepada 25,608 tan pada Mei 2024 daripada 21,325 tan pada bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata bagi perbandingan tahun ke tahun, pengeluaran getah asli menokok sebanyak 6.1 peratus daripada 24,126 tan pada Mei, 2023.

“Pengeluaran getah asli Malaysia bagi Mei 2024 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (88.2 peratus) berbanding sektor estet (11.8 peratus),” katanya dalam kenyataan media Perangkaan Getah Bulanan Malaysia Mei 2024, hari ini.

Pasaran getah Kuala Lumpur mencatat peningkatan selepas Getah Mutu Malaysia GMM 20 atau SMR 20 melonjak ke tahap tertinggi pada 840.00 sen sekilogram sejak April 2017 sebelum berkurangan menjelang penghujung bulan.

“Secara amnya, sentimen pasaran dirangsang oleh saranan lebih kukuh dalam pasaran hadapan getah serantau di tengah-tengah kebimbangan bekalan bahan mentah global terhad di kebanyakan negara pengeluar utama berikutan cuaca lebat.

“Sentimen pasaran juga disokong oleh jualan kereta yang kukuh di China serta langkah rangsangan terkini yang diumumkan bagi meningkatkan ekonomi China,” katanya.

Pada Mei 2024, harga purata bulanan bagi lateks pekat meningkat 1.2 peratus kepada 742.36 sen sekilogram daripada 733.58 sen pada April 2024 manakala getah sekerap menokok 2.7 peratus kepada 657.16 sen sekilogram daripada 639.62 sen pada bulan sebelumnya.

Menurut Jabatan Perangkaan, harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia naik 1.2 peratus hingga 3.2 peratus pada Mei 2024 berbanding April 2024.

Dalam pada itu, jumlah stok simpanan getah asli pada Mei 2024 turun 16.9 peratus kepada 175,368 tan daripada 211,119 tan pada April 2024 dengan kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 91.4 peratus dan diikuti kilang pengguna getah (8.5 peratus) serta estet getah (0.1 peratus).

Selain itu, eksport getah asli Malaysia berjumlah 50,796 tan metrik pada Mei 2024, menokok sebanyak 6.3 peratus berbanding 47,795 tan pada bulan sebelumnya.

“China kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli yang berjumlah 39.2 peratus daripada  keseluruhan eksport pada Mei 2024 dan diikuti India (10.6 peratus), Jerman (9.4 peratus), Emiriah Arab Bersatu (6.5 peratus) dan Amerika Syarikat (4.6 peratus).

“Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah. Produk sarung tangan getah pula menjadi eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.25 billion pada Mei 2024 atau meningkat 14.1 peratus berbanding RM1.09 bilion pada April 2024,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan