EKONOMI > BERITA

IPP MALAYSIA NAIK 2.4 PERATUS PADA MEI, NILAI JUALAN PEMBUATAN NAIK 5.5 PERATUS KEPADA RM154.9 BILION - DOSM

12/07/2024 03:50 PM

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 2.4 peratus tahun ke tahun pada Mei 2024, didorong oleh pertumbuhan output yang stabil dalam sektor pembuatan, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata IPP kekal positif pada Mei 2024 (April 2024: 6.1 peratus), dengan sektor pembuatan yang bertumbuh 4.6 peratus (April 2024: 4.9 peratus) dan pengembangan 4.2 peratus dalam output elektrik (April 2024: 7.8 peratus).

Bagaimanapun, pengeluaran sektor perlombongan merosot 6.9 peratus berbanding pertumbuhan dua digit 10.0 peratus yang direkodkan pada April 2024. Perbandingan dengan bulan sebelumnya, IPP pulih kepada 3.5 peratus daripada -7.6 peratus.

“Pertumbuhan stabil dalam output sektor pembuatan disokong peningkatan dalam industri berorientasikan eksport, yang meningkat 3.7 peratus berbanding 2.6 peratus pada April 2024.

“Ini merupakan pertumbuhan tertinggi yang dicatatkan sejak November 2022 (5.1 peratus), didorong terutama oleh pemulihan yang kukuh dalam pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal kepada 8.4 peratus (April 2024: -1.4 peratus); dan peningkatan 4.8 peratus dalam pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (April 2024: 2.7 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata momentum pertumbuhan ini turut digambarkan dalam prestasi eksport barangan perkilangan negara yang berkembang 13.5 peratus pada Mei 2024 (April 2024: 11.9 peratus).

Beliau berkata mengikut perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport meningkat sembilan peratus berbanding -11.6 peratus pada April 2024 manakala pertumbuhan pengeluaran industri berorientasikan domestik kekal kukuh sebanyak 6.4 peratus selepas mencatatkan 9.5 peratus pada bulan sebelumnya. 

Sementara itu, Mohd Uzir berkata pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler merupakan penyumbang utama dengan peningkatan sebanyak 10.3 peratus; diikuti oleh pembuatan produk galian bukan logam lain (9.8 peratus); dan pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin dan kelengkapan (6.5 peratus).

Berbanding dengan bulan sebelumnya, industri berorientasikan domestik berkembang 2.3 peratus (April 2024: -1.3 peratus) manakala penjanaan elektrik meningkat 4.2 peratus tahun ke tahun pada Mei 2024 (April 2024: 7.8 peratus).

Bagi perbandingan bulan ke bulan, indeks elektrik pulih kepada 5.6 peratus (April 2024: -4.0 peratus), katanya.

Beliau berkata IPP menunjukkan peningkatan trend bagi beberapa negara pada Mei 2024, termasuk Amerika Syarikat, Singapura, Jepun, Vietnam, dan Taiwan. Bagaimanapun, IPP menyederhana di China dan Korea Selatan sementara Thailand mencatatkan penyusutan.

Bagi tempoh Januari hingga Mei 2024, Ketua Perangkawan berkata IPP bertambah baik iaitu sebanyak 3.6 peratus berbanding 1.9 peratus yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

“Pada tempoh itu, kesemua sektor mencatatkan pengembangan, iaitu indeks perlombongan (4.1 peratus); indeks pembuatan (3.1 peratus); dan indeks elektrik (7.8 peratus),” kata Mohd Uzir.

Sementara itu, DOSM dalam Perangkaan Pembuatan Bulanan bagi Mei 2024 berkata nilai jualan sektor pembuatan berjumlah RM154.9 bilion pada bulan itu, peningkatan sebanyak 5.5 peratus. 

Merumuskan prestasi kumulatif sektor pembuatan sehingga Mei 2024, Mohd Uzir berkata nilai jualan sektor pembuatan mencapai RM765.5 bilion, meningkat 3.3 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023 (5.1 peratus).

“Bilangan pekerja menokok 0.9 peratus kepada sejumlah 2.38 juta orang sementara gaji dan upah tumbuh 1.2 peratus kepada RM41.1 bilion. Oleh itu, nilai jualan setiap pekerja adalah sebanyak RM321,927, mencatatkan pertumbuhan 2.3 peratus,” kata Mohd Uzir.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan