EKONOMI > BERITA

ARTIKEL FORBES SERLAH MALAYSIA MAKIN DAPAT PERHATIAN ANTARABANGSA - AHLI EKONOMI

12/07/2024 04:48 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Majalah Forbes baru-baru ini telah menerbitkan satu artikel yang sangat menarik tentang Malaysia yang sewajarnya perlu diberi perhatian oleh akhbar tempatan dan juga antarabangsa.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes memberi tahu Bernama suatu yang agak berbeza apabila melihat fokus ditumpukan kepada persekitaran yang lebih positif dan bukannya badai politik, seperti yang diulas menerusi ruang komentar majalah tersebut oleh penulis Benjamin Laker.

Innes berkata selain pelaksanaan fiskal yang berhemat dan subsidi, langkah penting kerajaan yang dilihat menyerlah adalah peralihan kepada bidang semikonduktor. 

Beliau berkata Malaysia, yang sebelum ini pernah dikenali sebagai Lembah Silikon Timur sebelum Taiwan dan Korea Selatan mengambil alih penerajuan industri cip, berhasrat untuk mengembalikan semula era kegemilangannya.

"Menubuhkan pasukan petugas semikonduktor baharu menunjukkan komitmen Malaysia untuk meningkatkan industrinya daripada pemasangan hinggalah kepada pembuatan berteknologi tinggi.

"Dengan ekosistem semikonduktor mantap yang telah sedia ada, Malaysia berada pada kedudukan baik untuk menarik pelaburan yang besar, terutamanya dalam sektor bernilai tinggi seperti pembuatan semikonduktor.

"Langkah strategik yang diambil Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyokong potensi Malaysia untuk menjadi kuasa semikonduktor di rantau ini," katanya.

Sementara itu, ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata artikel itu membayangkan bahawa agenda reformasi kerajaan telah mula disedari oleh pihak luar.

"Ini akan membantu membina kredibiliti pentadbiran sekarang dalam usaha mereka untuk menarik pelabur dan perniagaan asing untuk melabur di Malaysia.

“Negara kita sememangnya mempunyai apa yang diperlukan mereka untuk melabur dan berkembang maju apabila kerajaan menyusun semula keutamaan perbelanjaan untuk meningkatkan produktiviti negara dalam jangka masa sederhana hingga jangka panjang," katanya.

Mohd Afzanizam berkata pembaharuan biasanya dikaitkan dengan langkah-langkah yang tidak popular dan kerajaan sekarang cukup berani untuk menyahut cabaran sambil pada masa yang sama memastikan agenda reformasi akan dilaksanakan pada kadar yang sewajarnya.

"Saya percaya itulah faktor-faktor yang menarik perhatian Forbes memandangkan potensi besar ekonomi Malaysia," katanya.

Menerusi artikel bertarikh 10 Julai, 2024, Laker memuji langkah yang diambil oleh perdana menteri untuk menarik pelaburan dalam sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor dan teknologi digital serta menangani ketidakcukupan dengan memperkenalkan beberapa siri cukai baharu sambil mengoptimumkan kos di tengah-tengah cabaran yang berterusan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan