EKONOMI > BERITA

MRL SAHKAN PELAN PERKONGSIAN ECRL DENGAN CCCC KEKAL TIDAK BERUBAH

12/07/2024 08:40 PM

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Co Ltd (CCCC) akan berkongsi kos operasi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) selain bertukar-tukar pengetahuan teknikal serta kepakaran seperti yang dipersetujui sebelum ini.

MRL melalui satu kenyataan hari ini mengulangi pelan perkongsian pasca pembinaan dengan CCCC kekal “seperti yang ada dalam pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi fasa pengurusan, operasi dan penyelenggaraan ECRL pada April 2019.”

“Pelan itu selaras dengan kenyataan Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook baru-baru ini semasa persidangan khas Parlimen,” kata kenyataan itu lagi.

MRL merupakan pemilik projek ECRL, manakala CCCC bertanggungjawab sebagai kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).

“Seterusnya, bagi operasi ECRL, sebuah syarikat usaha sama baharu antara MRL dan CCCC akan ditubuhkan,” kata MRL.

Perjanjian pemegang saham antara MRL dan CCC untuk pemerbadanan syarikat usaha sama bagi mengambil alih peranan operator atau syarikat pengendali (OpCo), akan dimuktamadkan tahun ini.

“MRL dan CCCC masing-masing akan menanggung 50 peratus daripada risiko dalam OpCo jika ECRL beroperasi pada defisit, sebaliknya, MRL akan menerima 80 peratus daripada pendapatan, baki 20 peratus menjadi hak CCCC, sekiranya ECRL beroperasi pada lebihan,” tambahnya.

MRL juga telah dilantik sebagai pemilik aset ECRL oleh kerajaan, selaras dengan rancangan April 2019, ini membuka jalan untuk MRL memeterai perjanjian operasi dengan OpCo, yang membolehkan OpCo mengakses aset ECRL bagi operasi dan penyelenggaraan. .

Kerajaan Malaysia akan memiliki 100 peratus daripada semua aset ECRL melalui MRL, memandangkan syarikat itu adalah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) Inc.

Selain itu, projek ECRL sepanjang 665 kilometer tersebut dijadualkan siap dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor menjelang Disember 2026. Ia akan beroperasi pada Januari 2027.

Penyiapan sepenuhnya, melibatkan sambungan rel dari Gombak ke Pelabuhan Klang, dijangka pada Disember 2027.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan