EKONOMI > BERITA

PETRONAS LUBRICANTS, ICEOTOPE BANGUNKAN PENYELESAIAN PENGURUSAN TERMA PUSAT DATA

12/06/2024 04:16 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Petronas Lubricants International bekerjasama dengan Iceotope Technologies Ltd yang berpangkalan di UK untuk bersama-sama membangunkan penyelesaian pengurusan terma untuk pusat data, kemudahan pengkomputeran berdekatan dan operasi blockchain untuk meningkatkan kecekapan sambil mengurangkan pelepasan karbon dan penggunaan air.

Petronas Lubricants International ialah cabang pembuatan dan pemasaran pelincir global Petronas, iaitu kumpulan tenaga global Malaysia, manakala Iceotope ialah peneraju global dalam penyelesaian penyejukan cecair yang berketepatan tinggi.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata bahawa dengan memanfaatkan kepakaran dan pengalaman dalam pengurusan terma, perkongsian itu akan memacu penyelidikan dan pembangunan serta inovasi untuk menyampaikan teknologi penyejukan cecair baharu yang disesuaikan bagi memenuhi keperluan sektor-sektor yang semakin meningkat, sejajar dengan kemajuan berterusan dalam infrastruktur digital global.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Lubricants International Hezlinn Idris berkata Petronas Lubricants International dan Iceotope berkongsi persamaan dalam kepakaran teknologi penyejukan cecair.

“Melalui perkongsian ini, kami akan dapat menawarkan impak yang ketara dengan membolehkan prestasi yang lebih baik untuk sektor infrastruktur data tanpa menjejaskan alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Iceotope David Craig berkata penggunaan kuasa dan kesannya kepada alam sekitar adalah keutamaan paling penting bagi pengendali pusat data hari ini.

“Penyejukan cecair berketepatan mewakili anjakan revolusioner, memperkasakan organisasi untuk menggunakan infrastruktur teknologi maklumat tanpa menjejaskan prestasi atau kemampanan.

“Dengan menggabungkan kepakaran Iceotope bersama teknologi termaju Petronas, kami bukan sahaja menyejukkan pusat data, tetapi kami memastikan penyejukan yang cekap dan bertanggungjawab pada standard tertinggi,” katanya.

Dalam proses perkongsian dengan Iceotope, Petronas Lubricants International memperkenalkan Petronas Iona Tera, penyejuk cecair yang direka khusus untuk pusat data yang semakin bergantung kepada penyejukan cecair untuk mengekalkan suhu optimum.

Petronas Iona Tera baharu melalui penyelidikan dan pembangunan serta pembangunan pengurusan terma hampir dua tahun dan proses pengesahan yang meluas termasuk penilaian kimia cecair dan bahan yang berbeza dalam keadaan makmal.

Petronas Iona pada mulanya dibangunkan untuk kenderaan elektrik, menyasarkan tiga komponen kritikal, iaitu enjin, transmisi, bateri dan bearing.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan