EKONOMI > BERITA

PELAKSANAAN E-INVOIS TIDAK BERI KESAN KETARA TERHADAP PINJAMAN KERETA -- MAA

16/07/2024 06:28 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Pelaksanaan invois elektronik (e-invois) seharusnya tidak memberi kesan ketara terhadap pasaran pinjaman kereta, kata Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Mohd Shamsor Mohd Zain.

Bagaimanapun, inisiatif itu dijangka meningkatkan kecekapan dan ketelusan dalam permohonan pinjaman sewa beli.

“Bank Negara Malaysia telah mengenakan peraturan yang ketat bagi memastikan amalan perbankan yang bertanggungjawab di bawah Akta Sewa Beli. 

“Walaupun pelanggan dikehendaki membayar bayaran pendahuluan minimum, sesetengah bank masih menawarkan pinjaman 100 peratus," katanya pada sidang media hari ini.

Beliau membuat kenyataan ini apabila ditanya mengenai kesan e-invois terhadap pinjaman penuh dan jualan kenderaan.

“Jadi pada dasarnya, saya rasa ia tidak sepatutnya memberi kesan besar kepada keseluruhan senario situasi pinjaman penuh,” tambahnya lagi.

Semalam, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyatakan bahawa pelaksanaan e- invois, yang dijadualkan bermula bulan depan, tidak akan menjejaskan jualan kenderaan keseluruhan tahun ini.

Laporan media terkini menjangkakan jualan kenderaan mungkin berkurangan pada Ogos berikutan pemansuhan pembiayaan penuh untuk pembelian berikutan pelaksanaan e-invois.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan bahawa 4,000 syarikat dengan pendapatan melebihi RM100 juta akan menjadi kumpulan pertama yang terlibat dalam pelaksanaan e-invois mulai 1 Ogos 2024.

Syarikat dengan pendapatan tahunan antara RM25 juta dan RM100 juta akan mula menggunakan e-invois menjelang 1 Jan 2025, dengan penguatkuasaan sepenuhnya pada 1 Julai 2025.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan