EKONOMI > BERITA

HONG LEONG BANK BUKA CAWANGAN IKONIK DI LIGHT STREET

17/07/2024 02:53 PM

GEORGE TOWN, 17 Julai (Bernama) -- Hong Leong Bank (HLB) meraikan lembaran baharu dengan pembukaan cawangan ikoniknya di Light Street, dekat sini, yang menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan dan komuniti dengan sentuhan peribadi serta platform bank digital HLB Connect.

Pengarah Urusan Perkhidmatan Kewangan Peribadi HLB Andrew Jong berkata pembukaan itu adalah sebahagian daripada strategi bank untuk mengeratkan hubungan dengan pelanggan menerusi perkhidmatan yang diperibadikan dan dipercayai.

Jong berkata bangunan yang dibeli dan dimiliki sejak 2011 itu mempunyai reka bentuk yang menarik termasuk bilik mesyuarat, kawasan pameran, ruang untuk perbincangan serta sebuah kafe, Kota Bistro.

"Matlamat kami untuk menjadikan cawangan ini sebagai ruang perbincangan dan bimbingan kewangan sambil bersantai dengan secawan kopi. 

“Jadi, terdapat interaksi seimbang antara urusan berbentuk digital dan fizikal, seiring dengan slogan kami ‘Your Digital Bank Plus Much More’,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, pengarah urusan pengurusan kekayaan wilayah HLB Hor Kwok Wai berkata cawangan itu berfungsi sebagai hab serantau untuk perkhidmatan perbankan keutamaan dan peribadi serta memenuhi pelanggan bernilai tinggi yang memerlukan penyelesaian dipertingkatkan serta pelan pengurusan kekayaan.

“Pulau Pinang merekodkan lebih RM44 bilion jumlah pelaburan yang diluluskan tahun lepas, dengan pelaburan langsung asing (FDI) pembuatan mengalami pertumbuhan tahun ke tahun melebihi 600 peratus. Sebagai sebuah bank, kami komited untuk menyediakan penyelesaian yang memenuhi keperluan pelanggan," katanya.

HLB juga memperkenalkan pelbagai promosi untuk pelanggan baharu sempena pembukaan cawangan itu.

Ini termasuk kadar istimewa untuk pinjaman kenderaan dengan pembiayaan minimum RM70,000 sehingga 30 Sept 2024, dan promosi kadar deposit tetap sebanyak 4.75 peratus setahun selama enam bulan sehingga 31 Julai 2024. Kedua-dua promosi berkuat kuasa pada 11 Julai 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan