EKONOMI > BERITA

ALIRAN MASUK ASING, POTENSI AS TURUN KADAR FAEDAH PACU LONJAKAN RINGGIT - AHLI EKONOMI

18/07/2024 07:17 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Aliran masuk asing bersih yang berterusan dalam pasaran ekuiti Malaysia selain potensi pihak Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) menurunkan kadar faedah, menjadi antara pendorong lonjakan ringgit hari ini sehingga mencecah paras tertinggi baharu dalam tempoh enam bulan, kata penganalisis.

Ringgit diniagakan pada paras 4.6590 berbanding dolar AS pada 8.44 pagi ini yang juga paras tertinggi sejak catatan pada 6 petang, 12 Jan, 2024, apabila mencecah 4.6455, dipacu oleh peningkatan sentimen optimis dalam kalangan pelabur asing terhadap pasaran ekuiti tempatan.

Pada 6 petang ini, ringgit ditutup pada paras 4.6680.

Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih di Bursa Malaysia untuk minggu kedua berturut-turut dengan belian bersih berjumlah RM478.2 juta pada minggu lepas. 

Bursa Malaysia pula mengakhiri paras tertinggi baharu dalam tempoh tiga tahun yang dicatat semalam selepas FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di paras 1,633.54.

Bercakap kepada Bernama, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata tindakan beberapa agensi asing yang diiktiraf di peringkat global menaikkan penarafan terhadap Malaysia, juga terbukti memberi suntikan positif ke atas mata wang tempatan itu.

Ini termasuk tindakan Fitch Ratings mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada BBB+ dengan prospek stabil, disokong oleh kepelbagaian ekonomi serta asas eksport.

Selain itu, JP Morgan pula menaikkan penarafannya terhadap Malaysia kepada ‘neutral’ daripada ‘underweight’ atau di bawah wajaran selepas hampir enam tahun, didorong oleh dasar pembaharuan negara ini, pelaburan pussat data serta pembangunan prasarana.

 Mengulas selanjutnya, Mohd Afzanizam berkata komitmen kerajaan terhadap usaha mengurangkan defisiti belanjawan, turut mendapat momentum menerusi langkah penyasaran subsidi diesel baru-baru serta pelaksanaan sistem e-Invois yang meningkatkan aspek ketelusan dan pematuhan cukai.

Malah, sentimen optimis terhadap jangkaan penurunan kadar faedah AS terus memacu prestasi mata wang negara pesat membangun, termasuk ringgit, katanya.

Laporan media menyatakan Gabenor Fed Christopher Waller telah membayangkan bahawa tempoh bagi penurunan kadar faedah di AS kini semakin hampir.

Kadar Dana Persekutuan (FFR) pada masa ini di paras 5.25 peratus daripada 5.5 peratus manakala Kadar Dasar Semalaman (OPR) di Malaysia di paras 3.0 peratus.

“Faktor itu menjadi penggerak utama bagi mata wang pasaran sedang pesat membangun kerana sebarang pengurangan FFR akan mengecilkan lagi jurang kadar faedah antara AS dengan rantau lain, termasuk Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan