EKONOMI > BERITA

EKOSISTEM KEWANGAN PERLU PERUNTUK LEBIH SUMBER BANTU PKMS -- HUI YING

18/07/2024 07:11 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Keberkesanan program kerajaan untuk pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bergantung kepada kerjasama antara institusi kewangan (FI) dan institusi kewangan pembangunan (DFI).

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata ekosistem kewangan ini, seperti Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) digalakkan memperuntukkan lebih banyak sumber kepada PMKS bagi membantu pengembangan PMKS.

“Untuk memacu negara kita ke arah pertumbuhan ekonomi yang maju, ekosistem kewangan perlu secara kolektif menangani cabaran yang dihadapi oleh PMKS,” katanya ketika merasmikan Anugerah FI/DFI & PKS ke-29 CGC 2023 di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi CGC Datuk Mohammed Hussein serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak.

Lim dalam pada itu memuji CGC kerana komitmennya yang tidak berbelah bahagi untuk memenuhi keperluan kewangan PMKS.

“Perbadanan itu telah beralih daripada penyedia jaminan kredit tradisional kepada institusi yang mampan dari segi kewangan yang menawarkan jaminan, pembiayaan dan khidmat nasihat bukan kewangan kepada PMKS,” katanya.

Sejak penubuhannya pada 5 Julai 1972, CGC telah menyediakan lebih RM95.4 bilion dalam bentuk pembiayaan kepada lebih 380,000 PMKS.

Lim berkata PMKS juga harus menerima kecerdasan buatan (AI) dan pematuhan terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebagai alat transformatif bagi memupuk inovasi syarikat pemula niaga tempatan seiring dengan pengembangan era pendigitalan.

"Peralihan Malaysia ke dunia digital berpotensi meletakkan kita sebagai pemain terkemuka di pentas global," kata Lim.

Dalam pada itu, beliau berkata PMKS berfungsi sebagai tulang belakang ekonomi di seluruh dunia, menggunakan lebih dua pertiga daripada tenaga kerja global dan menyumbang dengan ketara kepada pertumbuhan produk pembangunan kasar (KDNK).

Di Malaysia, perusahaan itu menyumbang kira-kira 38.4 peratus daripada KDNK dan 48.2 peratus daripada jumlah pekerjaan pada 2022, katanya.

“Bagaimanapun, PMKS terus bergantung kepada sumber pembiayaan tradisional daripada sektor perbankan, namun masih terdapat kira-kira RM290 bilion jurang pembiayaan untuk PMKS sahaja, menunjukkan akses terhad kepada pembiayaan untuk perniagaan berskala kecil,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan