AM > BERITA

24.8 PERATUS PELAJAR UMK MILIKI SYARIKAT SENDIRI DI UNIVERSITI

18/07/2024 09:14 PM

KOTA BHARU, 18 Julai (Bernama) -- Sebanyak 24.8 peratus daripada 13,490 pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang direkodkan mempunyai syarikat sendiri di universiti, kata Naib Canselor UMK Prof Datuk Dr Razli Che Razak.

Beliau berkata jumlah itu menjadikan UMK berada di kedudukan pertama universiti awam di negara ini yang melahirkan graduan usahawan serta usahawan dalam institusi.

“UMK merupakan universiti berteraskan keusahawanan dengan petunjuk prestasi mempamerkan universiti ini adalah institusi terbaik yang mampu melahirkan 15.4 peratus graduan usahawan, sekali gus melepasi syarat-syarat minima bagi menghasilkan syarikat dalam kalangan pelajar.

“Penuntut didedahkan dengan sektor keusahawanan dan mereka mempunyai syarikat universiti ketika masih dalam pengajian serta dapat meneruskan inspirasi itu selepas graduasi selain mampu menjana pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Brand Clasiti oleh Syarikat Hiliran UMK, SNH Cosmetic Lab Sdn Bhd di UMK Kampus Kota di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Razli berkata UMK turut membantu penuntut yang terlibat mengusahakan syarikat sendiri dari segi penyediaan modal, selain turut mendaftar di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Selain MyIPO, penuntut di UMK yang mempunyai syarikat usahawan sendiri berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Universiti (SSU) juga diwajibkan mendaftar dengan SSM secara percuma,” kata beliau.

Sementara itu, mengulas mengenai pelancaran produk berkenaan, Razli berkata usaha itu melibatkan produk pelembab bibir serta losyen berasaskan buah-buahan tempatan yang dihasilkan penyelidik dari UMK Prof Dr Siti Nuurul Huda.

“UMK berbangga dengan penghasilan produk ini kerana kulit tembikai yang biasanya dibuang kini mampu digunakan bagi menghasilkan produk, malah kita akan menggunakan beberapa premis rakan strategik bagi memasarkan produk ini.

“Selaku penyelidik, kita bukan sahaja memperoleh hasil daripada penyelidikan, tetapi turut mengkomersialkannya, di samping produk ini diterima baik pengguna khususnya di media sosial serta akan diperluaskan ke pasaran luar negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan