EKONOMI > BERITA

POTENSI AS TURUN KADAR FAEDAH, PASARAN BON MALAYSIA DIUNJUR DAPAT SOKONGAN - RAM

19/07/2024 06:11 PM

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- RAM Ratings Services Bhd mengunjurkan pasaran bon Malaysia berkemungkinan besar mendapat sokongan pada bulan ini berikutan potensi pihak Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) menurunkan kadar faedah utamanya.

Pegangan asing ke atas bon Malaysia susut sebanyak RM576.8 juta pada Jun (Mei : aliran masuk bersih RM5.5 bilion), didahului oleh penjualan bernilai RM2.6 bilion bagi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS).

“Penyusutan pegangan terhadap MGS itu berkemungkinan besar disebabkan oleh kekurangan pilihan pelanjutan memandangkan penerbitan bersih negatif yang besar dalam keadaan matang tidak sekata pada bulan lepas (matang: RM21.5 bilion; terbitan bersih RM16.5 bilion)

"Belian asing terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) pula berterusan pada Jun (RM1.4 bilion) sebagaimana pembelian Bon Perbendaharaan Malaysia jangka pendek (MTB) dan Bon Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) (RM1.2 bilion)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Firma itu turut menjangkakan pasaran meraih tumpuan seterusnya pada Julai, didorong oleh laporan inflasi Amerika Syarikat yang lebih rendah daripada jangkaan awal.

Keadaan itu turut didorong oleh kenyataan Pengerusi Fed Jerome Powell pada 15 Julai lepas yang berpihak kepada penurunan kadar faedah, sekali gus meyakinkan lagi pasaran bahawa langkah itu akan dilaksanakan pada September ini.

“Kebarangkalian pasaran mengenai kemungkinan itu melonjak kepada 97 peratus pada 18 Julai berbanding kira-kira 64 peratus pada akhir Jun,” kata data daripada data CME FedWatch,” katanya.

RAM Ratings berkata hasil sekuriti Perbendaharaan 10 tahun AS (UST) dan MGS juga masing-masing turun sebanyak 15.0 mata asas dan 3.2 mata asas secara bulanan, mencapai 4.36 peratus dan 3.88 peratus pada akhir Jun (berbanding masing-masing 4.51 peratus dan 3.91 peratus pada akhir Mei).

Ringgit telah mengukuh kepada 4.67 berbanding dolar Amerika Syarikat pada 18 Julai (naik daripada 4.72 pada akhir Jun) manakala hasil untuk UST 10 tahun dan MGS terus susut masing-masing kepada 4.20 peratus dan 3.83 peratus.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan