EKONOMI > BERITA

KESELURUHAN AHLI TIDAK TERJEJAS AKIBAT GANGGUAN IT GLOBAL - MRCA

20/07/2024 02:52 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) berkata gangguan teknologi maklumat (IT) global yang berlaku pada Jumaat tidak menjejaskan keseluruhan ahli-ahlinya walaupun mungkin terdapat beberapa isu dalam pesanan dalam talian. 

“Bagi ahli-ahli kami, gangguan itu tidak menjejaskan semua orang, kecuali, mungkin ada beberapa ahli yang berurusan dengan pesanan dalam talian, aplikasi mudah alih, pembayaran dalam talian dan dalam rantaian bekalan, kemungkinan sedikit sebanyak ada menerima impak daripada gangguan tersebut,”kata MRCA kepada Bernama hari ini.

Bagaimanapun, persatuan itu berkata ia tidak menerima apa-apa laporan utama daripada ahlinya dan percaya mereka telah mengambil langkah-langkah atau melaksanakan pelan tindakan balas untuk menangani beberapa halangan sementara ini.

“Ini mungkin tidak semestinya sama di tempat lain, tetapi buat masa ini walaupun kami tidak melihat sebarang kesan negatif yang besar, kami akan terus memantau perkembangan ini yang dipanggil halangan perniagaan sementara akibat gangguan global,” kata persatuan itu.

Mengenai perkhidmatan pelanggan, MRCA berkata, ahlinya telah memaklumkan pelanggan masing-masing untuk menggunakan cara alternatif semasa membuat pesanan atau sebagainya.

Terdahulu pada Jumaat, media melaporkan institusi utama seperti syarikat penerbangan, bank, saluran media dan hospital di beberapa negara terjejas akibat gangguan IT global.

Gangguan IT itu dikaitkan dengan firma keselamatan siber global Crowdstrike Inc, syarikat teknologi keselamatan siber Amerika Syarikat berpangkalan di Austin, Texas, yang menyediakan perlindungan titik akhir, risikan ancaman dan perkhidmatan tindak balas serangan siber.

Ditubuhkan pada 1992, MRCA kini mempunyai lebih 550 ahli mewakili lebih 40,000 cawangan, menyediakan lebih 400,000 peluang pekerjaan di Malaysia dan luar negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan