EKONOMI > BERITA

PELABURAN STRATEGIK SARAWAK DALAM AFFIN BANK BOLEH JADI 'KEMENANGAN BERGANDA’ - AHLI EKONOMI

21/07/2024 02:29 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Rancangan kerajaan negeri Sarawak untuk meningkatkan pegangannya dalam Affin Bank Bhd kepada sekitar 30 peratus daripada 4.8 peratus pada masa ini, boleh menjadi ‘kemenangan berganda’ dalam merealisasikan pulangan yang tinggi atau berpatutan daripada pelaburannya dalam bank itu.

Pada masa yang sama, orientasi semula fokus pinjaman bank itu boleh membantu mempercepatkan pembangunan ekonomi negeri terutamanya jika projek-projek tersebut boleh diterima oleh bank, kata Timbalan Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia Profesor Dr Yeah Kim Leng kepada Bernama.

“Selain pembiayaan berskala besar yang diperlukan Sarawak untuk membangunkan industri minyak dan gas, kuasa hidro dan hidrogen, pemerangkapan karbon, perladangan dan industri intensif tenaga, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negeri itu juga memerlukan akses kepada pembiayaan,” katanya.

Yeah berkata dari sudut ekonomi, pelaburan strategik Sarawak dalam Affin Bank mungkin dapat memberi kelebihan serantau kepada bank tersebut apabila dapat mengakses peluang pinjaman yang lebih besar dan mengembangkan perkhidmatan kewangannya seiring dengan prospek pertumbuhan kukuh negeri itu.

Sebaliknya, pinjaman berkaitan politik boleh menjadi masalah jika tadbir urus lemah walaupun risiko ini telah berkurangan dengan ketara memandangkan pengukuhan pengurusan risiko dalam bank sejak beberapa dekad dan sektor perbankan yang dikawal selia dlengan baik, katanya. 

Pada masa ini, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) merupakan pemegang saham terbesar Affin Bank dengan pegangan 28.88 peratus, diikuti Bank of East Asia Ltd yang berpangkalan di Hong Kong, sebanyak 23.93 peratus.

Dilaporkan bahawa Sarawak dan LTAT sepatutnya menandatangani perjanjian jual dan beli (S&P) bagi memuktamadkan rancangan negeri itu untuk meningkatkan pegangannya dalam bank tersebut namun rancangan itu ditangguhkan.

Sebaliknya, kedua-dua pihak telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) pada Jumaat lepas (19 Julai) untuk meneroka pelaburan strategik.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerjasama antara kedua-dua pihak itu memberi peluang unik untuk Sarawak meneroka potensi kerjasama khususnya dalam enam sektor keutamaan iaitu pembuatan, pertanian komersial, pelancongan, perhutanan, perlombongan dan perkhidmatan.

Sementara itu, Yeah berkata keputusan Sarawak untuk meningkatkan pegangannya dalam bank bersaiz sederhana Affin Bank tidak dijangka mengubah landskap sektor perbankan di Malaysia, memandangkan terdapat lebih dua puluh bank dan kumpulan perbankan di negara ini.

“Bagaimanapun, ia dijangka membawa kepada perubahan dalam hala tuju strategik bank itu khususnya berkemungkinan akan lebih menumpukan kepada aktiviti pinjaman dan pembangunan kewangan di Sarawak,” katanya.

Susulan jangkaan janji niaga yang bakal dimeterai antara Sarawak dan pemegang saham utama bank tersebut harga saham Affin Bank melonjak mendadak dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini meningkat 20.2 peratus dalam tempoh itu dan memuncak kepada RM2.98 pada Selasa sebelum ditutup rendah kepada RM2.80 pada Jumaat dengan nilai pasaran RM7.13 bilion.

Yeah berkata turun naik harga saham menjelang pemeteraian janji niaga adalah tingkah laku pasaran yang biasa kerana pelabur membuat spekulasi mengenai potensi kesan dan implikasi penambahan kepentingan kerajaan negeri Sarawak dalam bank tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan