EKONOMI > BERITA

NAICO, DASSAULT SYSTEMES, FEIRAN METERAI MOU PACU TRANSFORMASI INDUSTRI AEROANGKASA MALAYSIA

22/07/2024 10:08 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Perbadanan Industri Aeroangkasa Negara Malaysia (Naico Malaysia), Dassault Systemes Singapore Pte Ltd dan Feiran Technology Sdn Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk memacu inovasi dan transformasi industri aeroangkasa Malaysia menerusi pelaksanaan penyelesaian digital terkini.

Naico dalam kenyataan hari ini berkata MoU berkenaan dimeterai semasa Pertunjukan Udara Antarabangsa Farnborough di United Kingdom.

MoU itu menekankan kerjasama menyeluruh ketiga-tiga entiti mengenai pembangunan Makmal Aeroangkasa ‘Makmal Pengvisualan 3D’ yang akan menjadi tunjang kepada Projek Kecemerlangan Pusat Aeroangkasa Nasional.

“Makmal ini akan memanfaatkan teknologi canggih seperti robotik, automasi dan realiti gabung maya-terimbuh untuk mendorong industri aeroangkasa yang berdaya saing global di Malaysia,” katanya.

Menurut Naico, satu lagi komponen penting dalam kerjasama berkenaan adalah Sistem Digital Aeroangkasa Malaysia (MADS) iaitu projek yang bertujuan mendigitalkan ekosistem aeroangkasa tempatan.

“MADS akan memudahkan transformasi rantaian bekalan, penyelenggaraan, pembaikan dan operasi pengendali serta memenuhi keperluan pengeluar peralatan asal melalui rangka kerja digital yang teguh, dengan menggabungkan pembelajaran mesin dan keselamatan siber,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Naico Malaysia, Shamsul Kamar Abu Samah berkata, MoU itu menandakan satu langkah penting untuk meletakkan Malaysia sebagai hab aeroangkasa serantau.

“Menerusi kerjasama kami dengan Dassault Systemes dan Feiran Technology, kami komited untuk memanfaatkan inovasi digital bagi meningkatkan industri aeroangkasa ke tahap baharu.

“Kami yakin inisiatif ini akan memberi sumbangan lebih besar kepada matlamat kami yang digariskan dalam Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya.

MoU berkenaan turut merangkumi penubuhan Pusat Latihan Industri Naico, yang akan meletakkan agensi itu sebagai hab latihan yang diperakui untuk Platform 3DEXPERIENCE Dassault Systemes.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan