EKONOMI > BERITA

BANTUAN RM5 BILION DIPERLUKAN UNTUK CAPAI MATLAMAT KILANG PINTAR - FMM

24/07/2024 04:31 PM

PETALING JAYA, 24 Julai (Bernama) -- Kerajaan perlu meningkatkan aspek pembiayaan dan sokongan insentif bagi membantu pengilang melaksanakan transformasi kilang pintar yang disasarkan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

 Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Tan Sri Soh Thian Lai berkata bantuan kewangan dianggarkan berjumlah RM5 bilion diperlukan bagi membiayai transformasi di peringkat kebangsaan berbanding RM3 bilion dalam geran serta pembiayaan yang ditawarkan pada masa ini.

Sokongan tambahan itu akan membolehkan Malaysia mencapai matlamat Projek 21 di bawah NIMP yang menyasarkan untuk mewujudkan sebanyak 3,000 kilang pintar menjelang 2030 menerusi penerimagunaan Industri 4.0 dan teknologi digital, katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas Persidangan Industri 4.0 FMM di sini hari ini, beliau berkata gesaan itu juga penting dalam usaha membantu Malaysia meningkatkan ranking daya saing global yang susut di kedudukan ke-34.

“Banyak faktor penyumbang kepada penurunan itu, mungkin dari segi operasi kilang, prestasi ringgit disebabkan oleh kesan perubahan bekalan, kumpulan bakat dan proses birokrasi.

“Sebagai pihak yang menjadi sebahagian daripada ekosistem pembuatan, FMM mahu membantu negara dalam meningkatkan kedudukan itu,” katanya. 

Namun, Soh berkata kebanyakan perniagaan di Malaysia merupakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memerlukan pembiayaan atau geran kerajaan dalam menerima guna teknologi baharu untuk proses pembuatan dengan kos minimum RM500,000. 

Beliau berkata PKS adalah tunjang ekonomi Malaysia yang merangkumi lebih 97.5 peratus daripada perniagaan negara dengan majoriti atau 87 peratus adalah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Selain bantuan kerajaan, Soh juga berharap pihak bank dapat mengurangkan kadar faedah bagi tujuan pembiayaan penerimagunaan teknologi kepada kira-kira 2.0-3.0 peratus berbanding purata 7.0 peratus.

Atas alasan itu, beliau mencadangkan kerajaan memberi jaminan menerusi pihak Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) bagi membolehkan bank-bank menawarkan kadar faedah lebih rendah untuk syarikat yang berminat memodenkan kemudahan di kilang masing-masing.

Saranan lain termasuk memberi potongan cukai dua kali untuk syarikat-syarikat yang menerima guna Industri 4.0 dan pendigitalan seperti kecerdasan buatan (AI), analisis data raya dan sistem robotik autonomi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Industri 4.0 dan Ekonomi Digital FMM Jacob Lee berkata pihaknya turut mencadangkan supaya kerajaan menyediakan elaun modal dipercepatkan untuk AI dan sistem robotik sehingga paras kelayakan perbelanjaan sebanyak RM5 juta untuk PKS menjalankan pembuatan.

Menurutnya, ini memandangkan sejak tiga tahun lepas, gangguan serta kesukaran ekonomi akibat pandemik telah meningkatkan lagi keperluan mendesak bagi mempercepat aspek pembuatan pintar untuk daya saing. 

Bagaimanapun, katanya, transformasi sedemikian memerlukan tindakan organisasi dari segi komitmen masa dan sumber dalam mengenal pasti bidang keutamaan, memilih teknologi berkaitan serta melibatkan pembekal teknologi yang tepat bagi memantau pelaksanaan pelan transformasi secara menyeluruh. 

Malah, bagi membantu pengilang terbabit, FMM telah bekerjasama dengan 29 syarikat untuk mewujudkan ekosistem teknologi yang mantap bagi mempercepat penerimagunaan teknologi, sekali gus beralih daripada model tenaga kerja berkemahiran rendah dan memupuk tenaga tempatan, sejajar dengan matlamat NIMP 2030.

Menjelaskan selanjutnya, Soh berkata langkah meningkatkan sektor pembuatan itu akan turut menggalakkan perniagaan memanfaatkan serta memasukkan teknologi 5G dalam menambah baik kesalinghubungan dan kecekapan operasi.

“Kita perlukan pengeluar peralatan 5G untuk menawarkan mekanisme penghubung dan kerajaan perlu membuat penetapan harga berkaitan. Pada masa ini, kalangan industri tidak tahu kos unit bagi penggunaan 5G itu,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan