SUKAN > BERITA

LIGA SUPER: SABAH FC MAHU PERBAIKI PRESTASI

24/07/2024 09:55 PM

KOTA KINABALU, 24 Julai (Bernama) -- Sabah FC mahu memperbaiki prestasi apabila melayan kunjungan pasukan tercorot Negeri Sembilan FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Likas di sini, malam esok.

Ketua Jurulatih Datuk Ong Kim Swee berkata kemenangan pada perlawanan itu penting bagi menaikkan semula semangat pasukan setelah berdepan kekecewaan apabila ditunjukkan jalan keluar oleh Terengganu FC dalam suku akhir Piala FA dengan agregat 0-7 dan tewas kepada Johor Darul Ta’zim 1-3 dalam aksi liga.

Beliau berkata bermain di laman sendiri akan memberikan kelebihan buat Skuad Badak untuk memungut tiga mata berharga.

“Kita akan fokus semula kepada perlawanan Liga Super. Perlawanan menentang Negeri Sembilan sangat penting untuk kita menambah keyakinan serta memastikan Sabah tidak lagi kehilangan mata sekali gus memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super.

“Kita sudah bersiap sedia dari segi taktikal, mental serta meningkatkan keupayaan pemain untuk memberikan komitmen tinggi bagi mencapai keputusan positif,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sabah kini berada di kedudukan kelima Liga Super setelah meraih tujuh mata daripada empat perlawanan, manakala Negeri Sembilan di kedudukan ke-13 dengan hanya meraih tiga mata.

Mengenai barisan pemain, Kim Swee tidak menolak kemungkinan memberikan peluang kepada beberapa pemain muda Sabah FC II yang telah menyertai sesi latihan bersama skuad senior.

“Kita memberikan mereka peluang untuk menimba pengalaman, mereka mengikuti latihan untuk mencari keserasaian dalam kalangan pemain sedia ada. Beberapa pemain daripada Liga Super diturunkan ke pasukan Sabah FC II. 

“Kita ingin membuat penilaian dahulu sebelum menentukan sama ada mereka ini akan diberikan peluang atau sebaliknya untuk beraksi pada malam esok,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan