EKONOMI > BERITA

DEWAN NEGARA LULUS LIMA RUU PROMOSIKAN PULAU 1, FOREST CITY

25/07/2024 05:46 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Persidangan Dewan Negara hari ini meluluskan lima Rang Undang-Undang (RUU) yang bertujuan mempromosikan Pulau 1, Forest City di Johor bagi meningkatkan perkembangan aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan.

RUU yang diluluskan ialah RUU Kastam (Pindaan) 2024, RUU Eksais (Pindaan) 2024, RUU Zon Bebas (Pindaan) 2024, RUU Cukai Jualan (Pindaan) 2024 dan RUU Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2024.

RUU Kastam (Pindaan) 2024 bertujuan untuk memperuntukkan bahawa Pulau 1 tidak lagi menjadi sebahagian daripada kawasan utama kastam sama seperti Labuan, Langkawi, Tioman dan Pangkor dengan memasukkan peruntukan cukai khas ke dalam Akta Kastam 1967 (Akta 235).

Kesemua RUU tersebut diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga dikemukakan Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

Terdahulu, semasa penggulungan perbahasan RUU Kastam, Lim berkata Pulau 1 ialah sebuah pulau tambak yang telah diwartakan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia dan dihubungkan dengan sebuah jambatan sepanjang 600 meter.

"Pulau 1 termasuk dalam kawasan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura yang mana inisiatif ini dilihat akan meningkatkan daya saing dalam sektor ekonomi, memacu pertumbuhan mampan serta mengukuhkan infrastruktur yang akan memberi manfaat kepada perniagaan dan rakyat.

"Status Pulau 1 sebagai pulau bebas cukai dijangka berpotensi menjana limpahan ekonomi dari negara jiran yang memberi kesan kepada peningkatan ekonomi kawasan setempat dan pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor yang akan dibangunkan seperti hospitaliti, kewangan dan peruncitan," katanya.

Mengulas isu penguatkuasaan, Lim berkata antara langkah keselamatan yang akan dilaksanakan ialah kawasan Pulau 1 akan dipisahkan dengan kawasan utama Jabatan Kastam Diraja Malaysia dengan mendirikan pagar setinggi tiga meter dan hanya satu pintu masuk dan keluar ke kawasan tersebut.

"Pihak kastam juga akan merekodkan pergerakan keluar masuk kenderaan dengan menggunakan sistem berteknologi tinggi serta menyediakan komunikasi yang jelas dan notis pemberitahuan di pintu masuk kepada pelawat semasa berada di Pulau 1.

"Pengunjung yang keluar dari pulau itu menuju ke Malaysia perlu mengemukakan apa-apa resit, invois atau dokumen yang membuktikannya berada tidak kurang dari 48 jam di dalam Pulau 1 kepada kastam," kata beliau.

Dalam pada itu Lim turut menegaskan menerusi pindaan berkenaan, produk rokok, tembakau termasuk rokok elektronik tidak termasuk dalam barangan yang akan dikecualikan cukai di Pulau 1.

"Buat masa ini hanya empat barangan yang akan dikuatkuasakan pengecualian cukai iaitu minuman keras, kosmetik, minyak wangi dan coklat," tambahnya.

Persidangan Dewan Negara bersambung Isnin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan