EKONOMI > BERITA

Keuntungan bersih Westports naik kepada RM203.74 juta, umum dividen 8.89 sen

26/07/2024 03:44 PM

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Keuntungan bersih Westports Holdings Bhd meningkat kepada RM203.74 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 berbanding RM194.76 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelum ini.

Pendapatan bagi tempoh dalam tinjauan naik sebanyak enam peratus kepada RM552.99 juta daripada RM542.64 juta tahun lepas, kata pengendali pelabuhan itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Keuntungan bersih menokok kepada RM408.26 juta berbanding RM378.35 juta bagi separuh pertama tahun kewangan 2024, manakala hasil bertambah kepada RM1.10 bilion daripada RM1.06 bilion.

Westports mengaitkan kecemerlangan prestasinya dengan peningkatan dalam perolehan kontena.

Ia juga mengisytiharkan dividen interim satu peringkat pertama sebanyak 8.89 sen sesaham untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024.

Westports ketika mengulas mengenai unjuran berkata perdagangan intra-Asia terus penting kepada kumpulan, ditambah pula dengan ketegangan yang berterusan di Timur Tengah, yang menjejaskan rantaian bekalan global dan ini secara kumulatif membina kesesakan di pelabuhan kontena serantau.

“Perdagangan serantau intra-Asia menyokong pertumbuhan volum kontena Westports kerana laluan perdagangan ini menyumbang 65 peratus daripada kontena yang dikendalikan.

“Kesesakan pelabuhan serantau yang berterusan dan gangguan rantaian bekalan global boleh muncul sebagai faktor yang akan mempengaruhi volum daya pemprosesan secara menyeluruh. Oleh itu, kami mengekalkan jangkaan berhati-hati terhadap kadar pertumbuhan satu digit yang rendah untuk tahun ini berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Westports memberitahu dalam segmen konvensional, ia mengendalikan kargo pukal berjumlah 5.68 juta tan, yang akan menyokong aktiviti ekonomi domestik memandangkan majoriti daya pemprosesan membabitkan kargo projek, jongkong, gegelung dan kacang soya, antara lain.

Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah berkata kesesakan pelabuhan serantau telah mereda dan pengalaman itu menyerlahkan kesalinghubungan hab-hab perkapalan kontena di Asia Tenggara seperti Pelabuhan Klang dan Singapura.

“Ia menekankan kepentingan mempunyai lebih dari satu pelabuhan bagi mengendalikan perdagangan serantau yang semakin berkembang memandangkan pelabuhan-pelabuhan ini mampu bekerja seiring, untuk memastikan daya tahan serta kebolehpercayaan keseluruhan rantaian bekalan serantau dan global,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan