EKONOMI > BERITA

Enam Syarikat Penerbangan Sambung Semula Operasi Di Lapangan Terbang Subang 1 Ogos

30/07/2024 01:57 PM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

SUBANG, 30 Julai (Bernama) -- Sebanyak enam syarikat penerbangan akan menyambung semula operasi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang, Selangor dengan menggunakan pesawat lorong tunggal pada 1 Ogos, 2024 

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata enam syarikat penerbangan tersebut ialah FireFly, AirAsia Malaysia, Batik Air Malaysia, SKS Airways, Transnusa, dan Scoot Pte Ltd.

“Operasi pesawat pertama ialah daripada Batik Air Malaysia yang dijadualkan berlepas 1 Ogos ke Pulau Pinang pada tengah hari dan ketibaan penerbangan Transnusa dari Jakarta yang dijadualkan pada 2 petang hari yang sama,” katanya pada sidang media selepas lawatan di LTSAAS yang juga dikenali sebagai Lapangan Terbang Subang, hari ini.

Beliau berkata memandangkan lapangan terbang itu terletak di kawasan perumahan, operasi penerbangan akan bermula dari 6 pagi hingga 10 malam sahaja, tanpa penerbangan tengah malam.

Operasi pesawat lorong tunggal di Lapangan Terbang Subang disambung semula selepas semua operasi pesawat jet dipindahkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2002.

Beliau berkata lapangan terbang itu mempunyai keterbatasan dalam mengendalikan pesawat yang menggunakan kipas seperti turboprop, helikopter, pesawat ringan, pesawat tentera dan jet perniagaan.

“Selepas penambahbaikan untuk operasi jet sementara, tanjakan (apron) telah dikonfigurasi semula. Enam ruang parkir kini mampu menampung pesawat jet lorong tunggal termasuk Boeing 737 dan Airbus A320,” katanya.

Loke dalam pada itu berkata luas lantai kasar terminal meningkat sebanyak enam peratus dari 21,467 meter persegi kepada 22,674 meter persegi, dengan tiga sistem paparan maklumat penerbangan tambahan bagi menampung peningkatan kapasiti.

"Proses daftar masuk dijangka menjadi lebih lancar dengan 14 kaunter daftar masuk, empat kemudahan layan diri untuk meletakkan bagasi dan 15 kiosk layan diri yang akan dipasang.

"Saya juga akan membangkitkan tentang keperluan untuk memasang pintu automatik (auto gate) di sini dalam mesyuarat Kabinet esok," katanya.

Berhubung kelulusan syarikat penerbangan untuk memulakan operasi pesawat lorong tunggal, beliau berkata keutamaan diberikan kepada syarikat penerbangan tempatan dan banyak syarikat penerbangan telah memohon untuk beroperasi di LTSAAS, tetapi lapangan terbang itu tidak dapat menampung semua permintaan.

Beliau berkata ini hanyalah fasa sementara dan akan dikembangkan lagi dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

LTSAAS akan diubah menjadi hab penerbangan serantau dengan kapasiti maksimum tahunan sebanyak lapan juta penumpang, selain menjana ribuan peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Malaysia.

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan