EKONOMI > BERITA

Loke Harap Penyusunan Semula MAHB Dimuktamadkan Tidak Lama Lagi

15/01/2025 07:06 PM

PUTRAJAYA, 15 Jan (Bernama) -- Penyusunan semula Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) diharap dapat dimuktamadkan tidak lama lagi, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata beliau telah menyokong langkah korporat oleh Gateway Development Alliance (GDA) itu, konsortium yang bercadang untuk menyusun semula MAHB, selain berharap lebih banyak perkara dapat dicapai dengan lebih pantas.

Setakat 8 Jan, 2025, GDA dan pemegang sahamnya (konsortium) telah menerima penerimaan tawaran yang sah sebanyak 1.40 bilion saham, mewakili 84.1 peratus daripada jumlah saham terbitan dalam MAHB.

Beliau juga mengulangi ketidakpuasan hati mengenai kelewatan dalam proses membuat keputusan oleh pengendali lapangan terbang itu.

Loke berkata projek aerotrain sebagai contoh utama kelewatan yang mendapat kritikan ramai, dan walaupun beliau sebagai Menteri Pengangkutan perlu menjawab semua isu itu namun, tanggungjawab terhadap keputusan itu terletak sepenuhnya pada lembaga pengarah dan pengurusan MAHB.

“Kita tidak berpuas hati dengan kelewatan keputusan pada masa lepas. Sebab itulah kita yakin penyusunan semula ini akan membantu memperkemas proses, membolehkan pelaksanaan yang lebih cepat dan kebertanggungjawapan yang lebih besar,” katanya di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai prestasi trafik penumpang dan kargo Malaysia bagi 2024 serta unjuran bagi 2025.

Loke berkata keputusan untuk menyusun semula MAHB dibuat oleh Khazanah Nasional Bhd, pemegang saham utama MAHB, bersama-sama dengan rakan kongsi konsortiumnya.

Beliau berkata langkah itu akan membolehkan syarikat bertindak balas dengan lebih cekap terhadap tuntutan industri dan memperluas kapasiti pada kadar yang lebih cepat.

“Walaupun kita mencatatkan pertumbuhan dua digit yang baik, kita juga perlu bergerak seiring dengan kalangan rakan serantau. Lapangan terbang dan infrastruktur kita perlu bersedia untuk menarik lebih banyak syarikat penerbangan dan meningkatkan kapasiti keseluruhan,” katanya.

Beberapa projek sedang dilaksanakan, termasuk pembinaan kapasiti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), masih belum selesai, katanya.

Beliau menggesa supaya usaha yang lebih besar dilakukan bukan sahaja untuk menaik taraf infrastruktur malah juga menggiatkan inisiatif pemasaran untuk membawa lebih banyak syarikat penerbangan ke Malaysia.

Dalam sidang media yang sama, beliau berkata Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengunjurkan trafik penumpang udara Malaysia mencapai antara 105.8 juta hingga 112.9 juta penumpang tahun ini.

Beliau berkata peningkatan jumlah penumpang itu dijangka melebihi rekod yang dicatatkan pada 2019 iaitu 109.3 juta dan mewakili pertumbuhan antara 8.4 peratus hingga 15.6 peratus tahun ke tahun.

“Pertumbuhan ini dijangka didorong oleh penambahan kapasiti tempat duduk oleh syarikat penerbangan, peningkatan permintaan untuk perjalanan antarabangsa, dan peningkatan keseluruhan pendapatan isi rumah.

“Syarikat penerbangan juga dijangka meningkatkan kapasiti sebanyak 15.8 peratus pada 2025 berbanding tahun sebelumnya, dan ini didorong oleh peningkatan ketara perjalanan domestik, yang diunjurkan 21.1 peratus tahun ke tahun,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau gembira atas prestasi pertumbuhan yang dicatatkan itu, beliau berkata: “Ya, namun sangat gembira, tidak.”

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan