EKONOMI > BERITA

GX Bank Catat 750,000 Pelanggan, 13 Juta Transaksi Sejak Pelancaran

02/08/2024 12:53 PM

PETALING JAYA, 2 Ogos (Bernama) -- GX Bank Bhd, yang dibangunkan oleh Grab Holdings Ltd mencatat lebih 750,000 pengguna yang telah membuka lebih 800,000 savings pockets (saku simpanan) sehingga kini.

Pengerusi Lembaga Pengarah GX Bank Datuk Zaiton Mohd Hassan, berkata bank digital pertama yang beroperasi di Malaysia sejak November 2023 itu juga telah mencapai lebih 13 juta transaksi secara kolektif melalui Kad GX dan imbasan QR.

“Pertumbuhan ini memperlihatkan pilihan rakyat Malaysia terhadap digitalisasi perkhidmatan perbankan pada era ini dan kepercayaan mereka terhadap perbankan digital,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran Ibu Pejabat GX Bank dan Pusat Kecemerlangan GX Bank di sini hari ini.

Katanya GX Bank akan mengenal pasti dan membangunkan bakat baharu dalam sektor kewangan digital melalui pelaburan RM1.5 bilion untuk tempoh lima tahun akan datang, merangkumi pelancaran inisiatif GX Untuk Semua, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam landskap perbankan digital.

Zaiton berkata, inisiatif GX Untuk Semua bertujuan memberikan tumpuan bagi memupuk bakat teknologi tempatan, membangunkan kecekapan teras dan amalan industri terbaik serta penyelesaian inovatif.

“Inisiatif ini akan memanfaatkan teknologi terkini untuk menawarkan akses kewangan dan penyelesaian mampan untuk golongan yang tersisih atau sukar mendapatkan perkhidmatan.

“Antara kepakaran dan penyelesaian yang disasarkan oleh hab ini adalah penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan untuk pengurusan risiko dan penipuan, serta penyelesaian pinjaman peribadi dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana,” katanya.

Katanya inisiatif ini adalah bukti komitmen berterusan oleh GXBank dalam menyokong pembangunan negara serta memenuhi visi KL20 untuk menjadi satu daripada 20 hab permulaan global terkemuka.

Selain itu, GX Untuk Semua akan menggalakkan keusahawanan dan menyediakan peluang penyelesaian berasaskan teknologi untuk diteroka bagi keperluan kewangan digital masa depan.

Menurut Zaiton, dengan sokongan tenaga kerja berbakat melibatkan lebih 95 peratus rakyat Malaysia, GX Bank akan maju ke hadapan dalam menangani keperluan kewangan sebenar setiap rakyat Malaysia.

Sehubungan itu, beliau berkata GX Bank sedang bekerjasama dengan universiti tempatan dan telah menyediakan Biasiswa Impian Gigih untuk memupuk bakat tempatan.

Menurutnya bank itu juga akan berkongsi lebih banyak usaha bersepadu di bawah setiap hab dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan