EKONOMI > BERITA

PETRA Fokus Kepada Rangka Kerja Bekalan Tenaga Dan Air Bagi Industri Pusat Data

05/08/2024 02:29 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan memfokuskan kepada rangka kerja bekalan tenaga dan air serta penyediaannya untuk industri pusat data, kata Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata PETRA telah memberikan pandangan mengenai kelestarian dan kemampanan yang merupakan antara aspek utama Pelan Hala Tuju PeralihanTenaga (NETR) yang dilancarkan pada tahun lepas.

“NETR telah membuka mata pelabur luar untuk datang ke negara kita. MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) bertanggungjawab untuk menentukan dasar bagi menarik pelaburan ke dalam negara manakala bagi PETRA, kita telah menyusun Program Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS),” katanya ketika ditemui pada majlis Forward Faster Now | Asia and Oceania hari ini.

Ia dianjurkan oleh United Nations Global Compact dengan kerjasama 15 Global Compact Country Networks di seluruh Asia dan Oceania.

Katanya pelabur industri pusat data perlu memenuhi permintaan dan tanggungjawab dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan PETRA akan turut meningkatkan usaha mempercepat penggunaan tenaga boleh baharu di negara ini.

“Kita akan memanggil pihak swasta bagi proses libat urus CRESS nanti,” katanya.

Program CRESS akan bermula September ini untuk meningkatkan akses syarikat korporat kepada bekalan elektrik hijau.

CRESS akan menawarkan konsep akses grid terbuka, pihak ketiga (TPA) boleh membekal (menjual) atau mendapat (membeli) bekalan elektrik melalui sistem rangkaian grid dengan caj akses sistem yang ditetapkan.

MITI dijangka mengumumkan piawaian cekap tenaga dan air untuk pusat data yang beroperasi di Malaysia pada bulan depan.

Sementara itu, menurut Laporan Kemajuan SDG Asia Pasifik 2024, mencapai Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan di Asia dan Pasifik akan memerlukan “usaha bersepadu yang luar biasa”.

Sebagai respons kepada keperluan mengambil tindakan, tahap penyelarasan dan kerjasama yang belum pernah berlaku sebelum ini serta tumpuan baharu kepada kredibiliti dan akauntabiliti menjadi keperluan utama pada masa ini, katanya.

Sektor swasta di rantau Asia dan Oceania mempunyai pandangan yang jelas dan berorientasikan tindakan untuk menerajui dan merapatkan jurang antara komitmen dan tindakan, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan