EKONOMI > BERITA

Datasonic Mahu Sedia Lebih Banyak Laluan Autogate Di Pusat Pemeriksaan Malaysia

06/08/2024 09:31 AM

Oleh Anasathia Jenis

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Datasonic Technologies Sdn Bhd berhasrat menyediakan lebih banyak laluan pagar automatik atau “autogate” di pelbagai pusat pemeriksaan di negara ini.

Pengarah Urusannya Datuk Ab Hamid Mohamad Hanipah berkata, syarikat itu, iaitu anak syarikat milik penuh Datasonic Group Bhd telah menyediakan penyelesaian autogate di seluruh negara sejak 2017.

“Hari ini, kami berbangga menguruskan lebih 150 autogate di seluruh pusat pemeriksaan di Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya dalam temu bual dengan Bernama hari ini.

Beliau berkata penyelesaian berkenaan digunakan di pelbagai pusat pemeriksaan, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 dan 2, Bangunan Sultan Iskandar dan Desaru, Johor, serta Batam, Indonesia.

Ab Hamid berkata Datasonic telah menambah baik ciri autogate itu secara berterusan, termasuk pengenalan teknologi baharu seperti pengecaman muka dan pintu dua arah.

“Pintu dua arah ini telah ditempatkan di Desaru,” kata beliau. 

Beliau berkata Datasonic turut melaksanakan peranan penting dalam menyesuaikan sistem bahagian belakang autogate sebagai antara inisiatif Malaysia untuk menyediakan kemudahan itu kepada 36 negara tambahan mulai 1 Jun tahun ini.

Ini sekali gus meningkatkan jumlahnya kepada 63 negara termasuk semua negara Kesatuan Eropah, Bahrain, Qatar, Oman, Jordan, China, Kanada, Hong Kong dan Taiwan.

“Pasukan kami bekerja sepanjang masa untuk memastikan pelaksanaannya berjalan lancar. Memandang ke hadapan, dengan maklum balas positif daripada pelanggan, kami akan terus menawarkan sokongan teguh memandangkan Malaysia berhasrat menambah laluan autogate baharu di pelbagai pusat pemeriksaan bermula tahun ini,” katanya. 

Mengenai permintaan pasport yang tinggi berikutan pembukaan semula ekonomi selepas pandemik, Ab Hamid berkata ia berdepan lebih banyak cabaran ekoran keadaan rantaian bekalan serta kekurangan cip.

Bagaimanapun, beliau berkata keutamaan syarikat adalah untuk menawarkan kualiti cemerlang dengan penghantaran yang tepat pada masanya, dan sentiasa merancang lebih awal untuk memastikan penghantaran pasport yang berterusan dan lancar.

"Menurut data Jabatan Imigresen, pengeluaran pasport mencecah 3.05 juta pada 2023. Kami berbangga memainkan tanggungjawab penting untuk menampung lonjakan permintaan pasport dengan penghantaran yang lancar kepada orang ramai," kata Ab Hamid.

Beliau berkata penglibatan meluas syarikat itu bermula pada 1997 dengan pembangunan dan pelaksanaan sistem visa, pas dan permit.

Menurutnya, tahun lepas menyaksikan pencapaian penting dalam projek pasport apabila Datasonic menghasilkan pasport Malaysia pertama yang dihasilkan sepenuhnya di negara ini berikutan syarikat itu berjaya beralih kepada pembuatan secara dalaman muka surat halaman data polikarbonat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan