EKONOMI > BERITA

Bakal Disenarai Di Pasaran ACE, Elridge Energy Sasar Kumpul RM101.5 Juta Daripada IPO

06/08/2024 04:51 PM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Elridge Energy Holdings Bhd (EEHB), yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 22 Ogos, menyasarkan untuk mengutip RM101.5 juta daripada tawaran awam permulaannya (IPO).

EEHB ialah sebuah syarikat pemegangan pelaburan. Anak syarikat milik penuhnya, Bio Eneco Sdn Bhd mengkhusus kepada pembuatan dan perdagangan produk bahan api biojisim, dengan tumpuan pada tempurung isirung sawit dan pelet kayu.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Oliver Yeo berkata penyenaraian itu penting bagi syarikat untuk meningkatkan keupayaan, mengembangkan operasi serantaunya dan mencipta nilai yang besar untuk pihak berkepentingan.

“Ia membolehkan kami memanfaatkan pangkalan pelanggan baharu, mengukuhkan kedudukan kami sebagai peneraju dalam sektor tenaga boleh baharu, dan mengupayakan kami mewujudkan sebuah hab bagi produk bahan api biojisim,” katanya ketika berucap pada pelancaran prospektus syarikat itu hari ini.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Yeo berkata berdasarkan harga terbitan 0.29 sen sesaham dan modal saham yang diperbesarkan sebanyak dua juta saham, EEHB akan mempunyai permodalan pasaran RM580 juta selepas penyenaraian.

"Tawaran untuk penjualan 350 juta saham biasa sedia ada akan disediakan kepada pelabur terpilih melalui tawaran saham persendirian," katanya.

Beliau berkata daripada jumlah hasil itu, RM47.0 juta akan digunakan untuk pengambilan tanah dan membina kilang serta gudang baharu di Kuantan, Pahang; RM21.1 juta untuk membeli mesin dan peralatan; RM27 juta untuk modal kerja dan RM6.3 juta untuk membiayai perbelanjaan penyenaraian.

Pengarah Eksekutif dan pengarah kewangan Salihudin Mohd Razali dalam pada itu berkata  berhubung rancangan pembesaran syarikat di Kuantan, usaha itu akan meningkatkan kapasiti tahunan sebanyak kira-kira 240,000 tan.

Kuantan dipilih kerana lokasinya yang berhampiran dengan pelabuhan, yang akan memudahkan pengeksportan produk syarikat, katanya.

Ia juga merancang untuk mengembangkan pengeluaran di Pasir Gudang, Johor dan Lahad Datu, Sabah, menjadikan kos pelaburan bagi ketiga-tiga lokasi itu kepada RM23.49 juta.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan