EKONOMI > BERITA

Masyarakat Bioinovasi: Bioeconomy Corporation Pertingkat Kesedaran Bioteknologi, Integrasi AI

08/08/2024 10:52 AM

Oleh Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Aspirasi bagi menjadikan Malaysia negara berteknologi tinggi menjelang 2030 kini dilihat sebagai antara agenda penting dalam usaha untuk turut merealisasikan masyarakat bioinovasi, sejajar dengan matlamat Dasar Bioteknologi Negara (DBN) 2.0.

Bagi memastikan matlamat itu tercapai, pengetahuan dan kesedaran masyarakat mengenai bioteknologi perlu terus dipertingkatkan untuk memastikan setiap lapisan masyarakat memahami dan menggunakan teknologi tinggi dalam kehidupan seharian.

Susulan berlangsungnya Pameran Bioekonomi Kebangsaan (NBiOSHOWCASE 2024) baru-baru ini, aspirasi itu perlu terus didukung menerusi penglibatan peserta industri berkaitan.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn Bhd (Bioeconomy Corporation) Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata sasaran itu boleh dicapai sekiranya usaha meningkatkan kesedaran dimulakan dari sekarang dan berterusan.

Beliau berkata kerajaan menyasarkan setiap individu mempunyai pengetahuan mengenai teknologi tinggi, termasuk bioteknologi.

“Sebenarnya masyarakat  kita telahpun menggunakan produk, teknologi atau proses bioteknologi setiap hari tanpa sedar contohnya makanan harian sehinggalah kepada mesin atau bahan bioteknologi yang digunakan.

“Peningkatan kesedaran itu sendiri adalah proses yang panjang untuk menyedarkan masyarakat bahawa mereka sudah menjadi sebahagian daripada sektor bioteknologi. Apabila mereka tahu betapa pentingnya bioteknologi, mereka akan mula bergerak ke arah kewajipan bioteknologi tertentu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata untuk mencapai matlamat itu dalam tempoh enam tahun lagi bukanlah sesuatu yang mustahil.

Apabila rakyat Malaysia sudah menjadi sebahagian daripada sektor bioteknologi, lebih mudah untuk membawa masuk pelaburan asing kerana pelabur tidak mengalami kesukaran untuk menjelaskan kepada pihak yang ingin bekerja dengan mereka, katanya.

Mohd Khairul Fidzal turut memetik kejayaan NBiOSHOWCASE 2024 serta kejayaan ALPS Global Holding Bhd, syarikat bioteknologi bersepadu yang dimudah cara oleh Bioeconomy Corporation, menjadi syarikat bioteknologi pertama Malaysia yang mencapai status unicorn.

Beliau berkata pencapaian itu sekali gus memenuhi antara matlamat utama Dasar Bioteknologi Negara 2.0 yang menyasarkan pewujudan tiga syarikat bioinovasi dengan status unicorn menjelang 2030.

 

Ekonomi, SDG dan Bioteknologi

Apabila menyentuh aspek bioteknologi, kecanggihan inovasi perlu memenuhi keperluan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) sedang dicapai oleh seantero dunia.

Dalam era evolusi teknologi yang pesat, banyak negara telah mula menggunakan kecerdasan buatan (AI) dalam pelbagai sektor termasuk bioteknologi seperti Jepun, Korea Selatan, kalangan negara Eropah dan Amerika Syarikat.

Mohd Khairul Fidzal, yang mengakui era AI masa kini juga memberikan cabaran yang lain, berkata langkah menerima guna AI dalam bidang bioteknologi juga sebahagian daripada usaha memacu bioekonomi negara.

Beliau berkata penggunaan AI dalam bioteknologi kini menjadi keutamaan bukan sahaja di peringkat tempatan malah juga dalam kalangan peserta industri antarabangsa yang berminat dengan cara teknologi itu berintegrasi dalam sektor bioekonomi.

“Kita tidak melihat AI dan bioteknologi sebagai pesaing antara satu sama lain, sebaliknya kedua-duanya saling melengkapi. Banyak syarikat kini mula menggabungkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta Internet Pelbagai Benda (IoT) dalam operasi mereka.

“Contohnya, syarikat di Eropah kini memastikan sumber produk mereka diketahui oleh pengguna. Switzerland telah memulakan langkah ini dan standard itu kini mula diamalkan oleh negara sekitar Switzerland,” katanya.

Beliau berkata pihaknya tidak hanya menitikberatkan produk semata-mata namun, proses dan standard yang digunakan turut diutamakan.

“Walaupun teknologi di luar negara lebih maju, kita harus mencuba dan memastikan sumber bahan mentah kita dapat dihasilkan dengan betul,” katanya.

Beliau berkata keperluan ketelusan dalam rantaian bekalan akan menjadi lebih penting pada masa hadapan, terutama bagi produk tempatan yang akan dieksport ke pasaran Eropah.

Baru-baru ini Bernama melaporkan Bioeconomy Corporation telah memberikan sokongan dan memudahkan lebih 520 syarikat bioteknologi dan berasaskan bio termasuk syarikat berstatus BioNexus, syarikat Pemecut Berasaskan Bio (BBA) dan syarikat yang terlibat dalam projek bioteknologi berimpak tinggi di Malaysia.

Secara kumulatif, syarikat dalam industri bioteknologi di Malaysia telah merekodkan pelaburan yang diluluskan bernilai RM14.3 bilion, menyumbang RM37.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, dan berjaya mewujudkan hampir 17,000 pekerjaan.

“Pencapaian ini menunjukkan peranan penting industri bioteknologi dalam pertumbuhan ekonomi dan penciptaan peluang pekerjaan di Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan