EKONOMI > BERITA

Pulau Pinang Antara Pelabuhan Persinggahan Bagi Oceania Cruises Pada 2025

11/08/2024 10:34 PM

GEORGE TOWN, 11 Ogos  (Bernama) -- Kapal persiaran Oceania Cruises yang terkenal kerana menawarkan pelayaran mewah ke beberapa destinasi pelancongan terkemuka dunia dijadual belayar merentasi Asia termasuk Pulau Pinang pada 2025.

Pengerusi Jawatakuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata Pulau Pinang berbangga apabila disenaraikan sebagai satu daripada pelabuhan persinggahan Oceania Cruise dalam pelayarannya merentasi Asia tahun depan.

Beliau berkata pemilihan tersebut merupakan peristiwa penting bagi sektor pelancongan Pulau Pinang sekali gus membantu negeri itu lebih dikenali di peringkat dunia.

“Pelayaran kapal persiaran ini akan membawa lebih 1,250 penumpang ke pelbagai destinasi ikonik termasuk Singapura, Hong Kong, Tokyo, Shanghai dan sudah pastinya Pulau Pinang.

“Terletak strategik di Asia Tenggara, Pulau Pinang telah sekian lama menjadi destinasi utama bagi kapal persiaran dan apabila dipilih oleh Oceania Cruises ia membuktikan tarikan unik pulau ini dan pengalaman luar biasa yang kita tawarkan,” katanya pada sidang media mengalu-alukan Oceania Cruises oleh Xpedition Travel di sini hari ini. 

Wong berkata Terminal Kapal Persiaran Swettenham Pier (SPCT) memainkan peranan penting dalam membantu pertumbuhan pelancongan bagi segmen kapal peranginan di negeri itu. 

Beliau berkata pada 2023 sahaja, SPCT telah menerima sejumlah 573,178 penumpang transit antarabangsa dan 175,532 penumpang tempatan.

“Jumlah yang memberangsangkan ini mencerminkan kapasiti terminal tersebut mengendalikan penumpang dalam jumlah besar dengan efisien sekali gus menjadikan Pulau Pinang sebagai hab maritim utama di rantau ini. 

“Penambahbaikan kemudahan terminal baru-baru ini termasuk melebarkan dermaga dan meningkatkan kemudahan penumpang juga meletakkan SPCT sebagai satu daripada terminal kapal peranginan utama,” katanya.

 Beliau berkata infrastruktur itu membolehkan pengendalian dengan efisien jumlah kapal pelayaran yang semakin meningkat serta memberikan pengalaman yang lancar kepada penumpang.

Wong berkata ketibaan Oceania Cruises ke negeri ini akan membawa manfaat besar kepada ekonomi dan budaya selain membantu peniaga tempatan serta mewujudkan pekerjaan dalam sektor hospitaliti, peruncitan, pengangkutan dan pelancongan di seluruh Pulau Pinang.

“Ia membawa pembangunan dalam masyarakat dan memastikan manfaat daripada pelancongan itu dinikmati oleh semua dan ia juga seiring dengan visi yang digariskan dalam Inisiatif Pulau Pinang 2023 iaitu meningkatkan tarikan di peringkat global dan mengukuhkan kedudukan kita sebaga hab pelancongan utama.

“Kita juga komited untuk menambah baik infrastruktur, memastikan pembangunan yang mampan dan memupuk masyarakat yang bertenaga,” katanya. 

Beliau berkata tersenarai sebagai satu daripada pelabuhan persinggahan merupakan langkah penting bagi Pulau Pinang ke arah meralisasikan visi berkenaan selain menggalakkan lagi pembangunan dan pelaburan dalam sektor pelancongan.

Beliau berkata ia juga membuka pintu kepada pelbagai bentuk perdagangan dan pelaburan lain menerusi pelancongan serta membuka laluan bagi Pulau Pinang untuk akhirnya menjadi pelabuhan utama dalam masa terdekat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan