EKONOMI > BERITA

WSA Venture Australia Sasar Ganda Pendapatan Kepada RM100 Juta Dalam Tempoh Tiga Tahun

12/08/2024 05:45 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- WSA Venture Australia (M) Sdn Bhd (WSAV) menyasar menggandakan pendapatannya daripada RM50 juta kepada RM100 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pengarahnya Dean Hilliard-Lomas berkata sasaran itu mencerminkan komitmen WSAV untuk meningkatkan operasi dan mengukuhkan kehadiran pasaran globalnya yang merupakan peluang pengembangan transformatif untuk syarikat.

"Tempoh lima tahun akan datang penting kepada pengembangan perniagaan kami dari segi pasaran, rangkaian produk dan pelanggan, seperti yang dinyatakan dalam pelan induk syarikat kerana kami merancang untuk memasuki pasaran Eropah, khususnya Jerman," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Beliau berkata WSAV juga merancang meneroka pasaran Afrika Selatan dalam tempoh beberapa tahun lagi.

“Pada masa ini, kami mengeksport produk kami ke pasaran Australia dan Amerika Syarikat (AS). Kami bermula dengan pelanggan di AS pada 2017 dan menghantar kontena pertama kami ke AS pada Disember 2018,” katanya.

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif WSAV CK Cha berkata salah satu pelanggan terbesar bagi syarikat pembuatan komponen auto itu ialah JVIS USA LLC, pemaju global produk berkualiti tinggi dan inovatif bagi industri auto.

"Kami menyediakan komponen untuk jenama seperti Holden Australia, Tesla, Toyota, Jeep, Ford, Mitsubishi Motor dan Faraday," katanya.

WSAV ditubuhkan pada 2014 melalui perjanjian usaha sama antara WSA Group Malaysia dan Venture Australia Group untuk mengeluarkan alat ganti kereta di Malaysia bagi pasaran Australia, ASEAN dan global.

Syarikat usaha sama 50:50 itu mengeluarkan produk dalam dua fasa.

Fasa pertama adalah untuk mengeluarkan dan mengeksport komponen automotif bagi operasi di Australia, pasaran tempatan dan ASEAN, manakala fasa kedua untuk mengembangkan produk dan perkhidmatan ke pasaran serantau dan global.

CK Cha berkata, syarikat itu juga pakar dalam kemudahan pembuatan seperti keupayaan pengacuan suntikan, pengacuan buih, pemotongan bahan penutup, pemotongan kulit, jahitan dan pembalut hiasan dalaman.

“Kami juga melakukan antara lainnya, kluster hud panel instrumen, dash dan trim, trim tiang, trim pintu dan sisipan atau tempat letak tangan, bahagian trim konsol tengah, bahagian trim dalaman Faraday dan map pocket Tesla,” katanya.

Sementara itu mengenai industri auto ASEAN, naib presiden JVIS USA bagi pembelian Arthur Hariskos berkata beliau melihat peralihan besar industri itu ke Asia Tenggara, dengan banyak pengeluar kereta menunjukkan minat untuk  memindahkan operasi keluar dari China.

“Dengan kadar buruh yang sangat menarik serta perubahan dasar kerajaan, menjadikannya faktor yang menarik minat rakan kongsi mengembangkan operasi mereka di sini.

“Ia akan mengambil masa kerana untuk mengalihkan operasi semasa pembuatan bukan mudah, tetapi saya yakin dalam tempoh lima tahun akan datang, kita akan menyaksikan banyak pertumbuhan di rantau ini, dan di negara-negara yang terbuka untuk menjadi rakan kongsi eksport,” katanya.

Negara-negara berpotensi, katanya, adalah Vietnam, Malaysia, Filipina, Indonesia dan Thailand.

Pada 27 Julai, 2024, WSAV menerima anugerah pembekal cemerlang daripada pelanggan utamanya, JVIS USA, yang mempunyai 300 pembekal di Amerika Syarikat dan seluruh dunia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan